PETALING JAYA: Kegembiraan tiga sekawan ketika beriadah di Air Terjun Batu Bertenggek, Hulu Selangor di sini bertukar tragedi apabila dihempap pokok setinggi 10 meter, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Khairunnisa Mohd. Khaiyazi, 24 cedera parah manakala dua rakannya Amirul Wahyudin Mohd Din, 24 dan Amirah Batrisyia Adam Khan, 21 mengalami cedera ringan.
Difahamkan, mereka datang dari Shah Alam untuk mandi-manda di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.59 pagi berkaitan kejadian itu.
Katanya, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke tempat kejadian.
“Menurut laporan awal, pokok tumbang ke arah sungai dan menghempap tiga individu yang sedang mandi di sungai terbabit.
“Kesemua mangsa tersepit di bawah pokok itu selama kira-kira 15 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, proses membawa keluar mangsa masih dijalankan.
“Ini kerana jarak dari tempat kejadian ke kawasan parkir ambulans dan jentera dianggarkan kira-kira satu kilometer,” katanya.- UTUSAN