Tidak wajar wujud diskriminasi berasas kepartian

Tidak wajar wujud diskriminasi berasas kepartian untuk pembangunan negeri

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakar berpendapat tidak wajar wujud diskriminasi dalam kerjasama berasaskan kepartian dengan Kerajaan Persekutuan dalam perancangan dan pembangunan negeri masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pada masa sama Kerajaan Persekutuan juga tidak boleh mendiskriminasikan negeri dalam perkara itu yang dipengaruhi parti politik berbeza.

Bagaimanapun, katanya, ia adalah budi bicara kerajaan negeri jika mahu mendapatkan bantuan penasihat dalam kalangan pakar untuk perancangan ekonomi.

“Selagi kerjasama yang dimaksudkan tidak melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak menjejaskan perhubungan dengan negeri lain, asasnya masih wajar.

“Perbezaan kepartian hanya wajar wujud pada peringkat pemilihan wakil rakyat,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung tindakan empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) atau dikenali SG4 yang mahu melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat ekonomi yang berperanan menghubungkan SG4 bersama pelabur luar seperti Jepun dan Korea.

Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, pelantikan penasihat ekonomi itu adalah pilihan negeri berdasarkan kriteria yang diperlukan untuk mencapai objektif sama seperti pembangunan sumber nadir bumi.

Dalam erti kata lain, tindakan tersebut hendaklah tidak berniat untuk mewujudkan perbezaan atau blok berasaskan semata-mata pengaruh kepartian.

Bagaimanapun, katanya, Perkara 76(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menggalakan keseragaman undang-undang antara dua negeri dan ia boleh diusahakan oleh Parlimen.

“Itu menunjukkan semangat yang perlu ada pada setiap negeri yang menghormati semangat federalism,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perkara 8(3) menegah diskriminasi yang memihak kepada mana-mana orang, atas alasan bahawa dia seorang rakyat raja bagi mana-mana negeri.

Manakala Perkara 8(4) juga menghalang pihak berkuasa awam daripada mendiskriminasikan mana-mana orang, atas alasan orang itu bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.

“Melainkan pengecualian yang dinyatakan dengan khusus di bawah Perkara 8(5), antaranya disebabkan undang-undang diri, hal ehwal agama, kedudukan asal suatu perkara itu di bawah Perlembagaan negeri sebelum Hari Merdeka dan pengambilan dalam rejimen askar Melayu,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan sudah memperuntukkan platform rasmi bagi maksud pembangunan ekonomi sesuai dengan federalisme yang menjadi tulang belakang dan pendiri Malaysia.

Katanya, pada masa ini sudah terdapat pelbagai platform di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi maksud pembangunan negara secara kerjasama antara Persekutuan dan negeri-negeri seperti Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Perancang Fizikal Negara.

“Pelbagai Jawatankuasa yang sudah dan boleh lagi ditubuhkan bagi maksud itu seperti Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merupakan modul kerjasama yang boleh dijadikan terma rujukan.

“Di samping itu Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk membantu negeri melalui aktiviti siasatan, tinjauan dan perangkaan di bawah Bahagian 6 bab 6 Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya