PETALING JAYA: “Hari pertama masuk saja pintu penjara, saya melalui pelbagai proses. Semasa itu, orang tidak berapa perasan lagi. Apabila periksa saja nama yang tertera Ismahalil, ada seorang warden terus menjerit ‘Ismahalil! , Ismahalil!. Jadi semua warden datang dekat.
“Tidak terjangkau dek akal saya akan ke penjara,” kata bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah, 49, selepas beberapa hari dimasukkan ke dalam penjara atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram.
Malah, beliau turut melalui pelbagai pengalaman lain yang tidak dapat dilupakan bermula hari pertama menjejakkan kaki ke ‘tirai besi’ itu sehingga dibebaskan.
“Saya ketika itu tidak pakai baju dan hanya berseluar pendek. Dan semasa itu juga buat kali pertama banyak yang sudah tahu Ismahalil masuk penjara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Ismahalil, keadaan yang sama turut berlaku ketika beliau ditempatkan bersama banduan lain.
“Boleh dikatakan banyak yang mengenali saya terutama bagi mereka yang berumur 35 tahun ke atas. Malu pun ada masa itu, tapi hendak buat macam mana.
“Mereka pun sudah tidak hairan. Kami mandi, makan dan tidur bersama-sama. Tiada istilah layanan berbeza atau double standard,” jelasnya.
Dalam pada itu Ismahalil berkata, beliau juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ahli keluarga lain terutama isterinya yang bersabar serta sentiasa memberi sokongan bagi meneruskan kehidupan termasuk ketika berada dalam penajara.
“Saya faham ramai isteri minta cerai apabila ada suami dimasukkan ke penjara. Lepas mahkamah ini tidak selesai, sudah nak ke mahkamah ‘songkok’ pula (mahkamah syariah).
“Ramai juga macam itu. Dengan tangan bergari dan tidak habis satu kes, sudah ada kes lain pula. Bukan mudah nak melaluinya dan penat. Akan tetapi alhamdulilah, saya tidak.
“Saya dapat merasakan isteri saya sangat kuat untuk menguruskan hal ini,” ujarnya.-UTUSAN









