Tiada campur tangan kes rasuah sejak saya jadi PM - Anwar

Tiada campur tangan kes rasuah sejak saya jadi PM – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam mana-mana kes rasuah termasuk kes melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan terhadap kes Timbalan Perdana Menteri itu dibuat sepenuhnya oleh Peguam Negara berdasarkan Perkara 145 (3) dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan kerana kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Malah, beliau memberikan kuasa penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau semua pemimpin kerajaan tanpa sebarang campur tangan.

“Persepsi ketika ini memang negatif dan tidak bagus kerana kita mewarisi sistem ini, kita tahu Malaysia dikenali dengan 1MDB dan isu korupsi. Ini persepsi lama, tapi bila saya jadi Perdana Menteri, saya tidak kompromi dalam perkara ini, ia akan ambil masa tapi saya percaya dalam masa akan datang masyarakat akan sedar mereka tidak boleh terima perkara ini.

“Apa yang penting, saya sebagai Perdana Menteri dan ahli Kabinet, dalam tempoh sembilan bulan, tidak ada satu kes pun (campur tangan). Saya bagi SPRM full authority pantau semua pemimpin kerajaan. Memang ada kes berlaku masa lalu tapi kalau nak ubah ia libatkan begitu banyak pihak namun paling penting, kita sedang mulakan sistem baharu,” katanya dalam sesi khas a Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura, hari ini.

Beliau juga menyifatkan Tan Sri Idrus Harun telah memberikan penjelasan sewajarnya sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.

“Saya bukan nak pertahan (Ahmad Zahid), saya mahu jelaskan apa yang diberitahu Peguam Negara yang dilantik kerajaan terdahulu. Ia merupakan apa yang dirasakan beliau. Saya minta beliau kemuka fakta dan bukti, jadi beliau sertakan 11 fakta untuk mahkamah dan hakim putuskan.

“Memang ada persepsi dan saya tak salahkan pengkritik sebab kita mewarisi sistem ini. Tapi kalau kamu sangka saya arah Peguam Negara, tidak, memang ia berada bawah kuasa Perdana Menteri, tapi perlembagaan sangat jelas dalam hal ini,” katanya.

Di sebalik kontroversi keputusan kes tersebut, Anwar tetap menolak sebarang dakwaan kerajaan pimpinannya berada dalam keadaan tidak stabil dan wujudnya ketidakstabilan politik, terutama selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik sokongan terhadap kerajaan sekali gus menghilangkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Ketika ini, kita ada hampir dua pertiga majoriti, tapi kita sebenarnya tak perlu dua pertiga majoriti, kita hanya perlu kerajaan yang kukuh dan stabil (strong and formidable). Majoriti yang kukuh kita ada, jadi saya tak tahu kenapa ada yang cakap pasal ketidakstabilan.

“Kita ada sistem berparlimen, kita ada demokrasi, memang akan ada pembangkang dan tak ada masalah untuk tanganinya,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.