Ternakan dalam negara bebas penyakit Nipah

Ternakan dalam negara bebas penyakit Nipah

DALAM memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman penyakit, DVS terus menjalankan survelan dan mengambil langkah berjaga-jaga. - GAMBAR IHSAN JPV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ternakan di negara ini dilaporkan masih bebas daripada penyakit Nipah hasil survelan tahunan terkini sehingga Ogos lalu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam kenyataan memaklumkan, situasi itu diputuskan melalui kajian ke atas 399 sampel babi komersial dengan mendapati keputusan ujian negatif penyakit berkenaan.

JPV berkata, jangkitan virus Nipah boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit selain udara dicemari titisan pernafasan, rembesan hidung dan mulut serta tisu haiwan terjangkit.

“Dalam memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman penyakit, JPV akan terus menjalankan survelan dan mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit bersifat zoonotik (berjangkit kepada manusia) ini dapat dicegah.

“Penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang yang berkebolehan menjadi perumah semulajadi virus Nipah,” katanya hari ini.

JPV berkata, penyakit itu pertama kali dikesan di Malaysia pada tahun 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan.

Situasi itu menyebabkan kerugian besar kepada penternak babi dan ekonomi negara serta meragut 105 nyawa manusia.

Katanya, usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi dijalankan ketika itu, seterusnya pada awal 2001 Malaysia diisytihar bebas penyakit Nipah oleh World Organisation for Animal Health (OIE).

“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah negara melalui program survelan berkala.

“Untuk makluman juga, penyakit ini disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31 (1),” jelasnya.

Pada masa sama, orang awam dinasihatkan untuk melapor sebarang kejadian penyakit berjangkit dalam ternakan seperti babi, kuda, atau haiwan kesayangan kepada JPV untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya