PETALING JAYA: Pusat beli-belah Subang Parade meningkatkan semangat perpaduan dengan menjadi tuan rumah kepada Festival Kuih Bulan di mana pengunjung dari seluruh Malaysia dapat merasai keunikan budaya Cina di Malaysia.
Festival ini akan berlangsung di sini pada 30 September sehingga 1 Oktober ini dari pukul 10 pagi hingga ke 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik.
Festival Kuih Bulan atau lebih dikenali sebagai Festival Pertengahan Musim Luruh adalah salah satu perayaan yang paling penting dalam tradisi masyarakat Cina dan disambut secara meluas di seluruh China, Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, Vietnam, Kemboja, Malaysia, Indonesia, dan Thailand.
Presiden Persatuan Fesyen, Pemodelan dan Pageant Malaysia (MFMPA) Dr. Jason Hee berkata, pengunjung boleh mengharapkan limpahan tanglung berwarna-warni yang menerangi pusat beli-belah untuk melambangkan pertemuan semula dan nasib baik.
“Festival ini akan menampilkan pameran dan gerai-gerai yang akan mempamerkan pelbagai persembahan kebudayaan yang membolehkan pengunjung merasai hidangan Pertengahan Musim Luruh terbaik di Malaysia.
“Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati beberapa persembahan kebudayaan seperti tarian singa, pertunjukan fesyen, tarian tradisional Cina, demonstrasi membuat kuih bulan dan Pratonton Minggu Fesyen Selangor yang mempamerkan trend fesyen terkini,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Subang Parade di sini, hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Pengarah Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar Budaya Kementerian Pelancongan,Seni Dan Budaya (MOTAC), Datin Salida Ibrahim dan Bekas Setiausaha Agung MOTAC, Datuk Rashidi Hasbullah.
Beliau berkata, ketika rakan-rakan dan keluarga berkumpul di bawah langit yang diterangi cahaya bulan sambil menikmati hidangan lazat dan bertukar-tukar kuih bulan, festival ini juga dapat memupuk semangat kesyukuran, perpaduan dan keindahan tradisi yang diwarisi turun-temurun.
“Atas semangat perpaduan, saya percaya bahawa perayaan ini tidak lengkap tanpa penyertaan rakan-rakan kaum lain.
“Oleh itu, saya mengambil peluang ini untuk menjemput semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama sebagai satu Keluarga Malaysia untuk meraikan perayaan yang indah ini dengan tanglung di tangan kita dan satu sama lain di dalam hati kita,” katanya.
Jason Hee berkata, dia berbesar hati untuk memainkan peranan yang sangat penting dalam menyatukan rakyat semua etnik melalui festival ini.
“Saya bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat dari pelbagai etnik untuk merasai perayaan yang indah dan disambut secara meluas ini, malah, saya amat gembira dapat memainkan peranan dalam mengekalkan keunikan budaya Cina di Malaysia.
“Kami juga akan membuat pemilihan terakhir ‘Duta Chipao Malaysia 2023’ di Festival Pertengahan Musim Luruh ini nanti. Duta-duta ini akan membantu saya mempromosikan dan memelihara budaya Malaysia-Cina melalui pelbagai acara,” ujarnya.
Beliau berkata, Subang Parade dulu amat terkenal dan sangat popular dalam kalangan masyarakat sekeliling, ia mempunyai komuniti tersendiri yang mengunjungi pusat membeli-belah ini.
“Dengan mengadakan lebih banyak program-program menarik, kami berharap pengunjung akan datang untuk memeriahkan lagi keadaan.
“Sesetengah generasi muda tidak mengenali asal-usul mereka, dengan turut serta festival ini mereka mampu menghayati dan mempelajari dengan lebih mendalam tentang keturunan mereka.
“Kami amat mengalu-alukan bukan sahaja masyarakat Cina tetapi masyarakat semua kaum terutamanya generasi muda untuk datang,” katanya. -UTUSAN