Status memo dalaman AGC berkenaan Najib perlu disahkan

Status memo dalaman AGC berkenaan Najib perlu disahkan

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Peguam Negara yang baharu dilantik, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh diminta mengesahkan sama ada berlaku atau tidak kebocoran dokumen memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti yang tular dalam media sosial.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jika kebocoran berlaku, pihaknya akan membuat satu lagi laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Menurutnya, Pemuda UMNO telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut agar satu tindakan tegas diambil.

“Kita melihat dari segi keadilan yang perlu ditegakkan oleh sesiapa  sahaja tak kira dia pembangkang atau kerajaan dan hari ini kita hendak menuntut keadilan .

“Kita lihat kes Datuk Seri Najib Tun Razak dianiaya dari segi asas siasatan, tiada asas, tetapi tetap juga didakwa. Hari ini kita nak minta Peguam Negara yang baharu mengesahkan kalau benar dokumen itu bocor, kita buat lanjutan kepada SPRM.

“Kita juga minta bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa atas salah guna kuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Jasin di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Selandar, di sini, hari ini.

Terdahulu, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 Oktober 2019 tersebar secara dalam talian.

Ia didakwa memo dalaman daripada pasukan pendakwa Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) yang ditujukan kepada Tommy.

Dokumen itu mengesyorkan enam daripada pertuduhan rasuah terhadap Najib dan  bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah digugurkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN