PETALING JAYA: Seorang lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar telah berjaya diselamatkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) baru-baru ini.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim memaklumkan, pemuda tersebut telah diseksa dan dipukul teruk oleh sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar namun telah dibawa keluar pihaknya setelah menerima aduan daripada keluarga lelaki tersebut.
Katanya, wakil MHO, Azirul Shafiq turun ke Thailand dan mengadakan misi menyelamat mangsa tersebut.
“Mereka memperlakukan rakyat Malaysia seperti binatang. Apa jadi dengan pihak berkuasa Myanmar? Mangsa dipukul dengan begitu teruk dan mempunyai kesan lebam pada kedua-dua mata serta di belakang dengan hentakan kayu. Dia juga cedera dicucuh api.
“Saya ingin mengecam tindakan negara itu kerana bertindak sangat keras dan tidak memperdulikan hak asasi manusia kerana melakukan manusia seperti binatang. Malaysia perlu mengambil tindakan tegas terhadap Myanmar apabila sindiket ini semakin berleluasa manakala kita punyai akses sangat terhad menyelamatkan mangsa,” kata Azirul menerusi akaun TikTok MHO.
Kata Hishamuddin, mangsa yang berjaya diselamatkan bakal dibawa pulang ke Malaysia serta tiba di KLIA2 pada malam ini. -UTUSAN










