KUALA LUMPUR: Kesemua saksi melibatkan bekas pegawai pengawal dan ketua setiausaha (KSU) yang enggan hadir ke prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini selamat daripada diambil tindakan dan nama tidak didedah kepada awam setelah hadir ke prosiding jawatankuasa itu.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebelum ini, ada beberapa saksi yang tidak hadir walaupun telah dimaklumkan berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, setelah memaklumkan saksi-saksi berkenaan berisiko melakukan kesalahan di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347), kesemua mereka akur dengan arahan tersebut.
“Apabila kami memanggil mereka, ada yang tidak dapat hadir apabila dimaklumkan perlu hadir ke prosiding dan tindakan yang termaktub (dalam undang-undang) boleh dikenakan (ke atas saksi).
“Akhirnya, semua mereka yang dimaklumkan hadir ke prosiding sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Mas Ermieyati bagaimanapun tidak memberitahu nama saksi-saksi berkenaan untuk tidak menganggu siasatan dan laporan akhir PAC.
Pada 16 Ogos lalu, PAC mahu menyiarkan nama-nama saksi jika enggan hadir dalam prosidingnya.
Kata, Mas Ermieyati, semua mantan kakitangan, khususnya pegawai pengawal dan ketua setiausaha perlu bertanggungjawab dan hadir bagi menjelaskan mengenai isu-isu yang timbul.
Jelasnya, hanya mereka yang boleh menjelaskan isu-isu tersebut semasa mereka menerajui kementerian, jabatan atau agensi kerajaan terbabit.
“Keengganan mantan Pegawai Pengawal/KSU ini untuk hadir ke prosiding PAC merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 9 (a) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).
“Ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa terdapat perkara yang ingin disembunyikan,” katanya sebelum ini. – UTUSAN










