Sebak ayah minta tengok rumah, Mark Adam cari duit tunai janji - Utusan Malaysia

Sebak ayah minta tengok rumah, Mark Adam cari duit tunai janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hati penyanyi Mark Adam, 43, berkecai setiap kali ibu dan bapanya meminta untuk pulang melihat rumah asal mereka yang terbengkalai di Taman Amaniah, Batu Caves.

Walaupun ditipu oleh kontraktor yang menghilangkan diri selepas bayaran penuh dilakukan, Fikri Mark Adam Abdullah tidak mahu berputus asa dan berjanji untuk terus mencari rezeki halal demi menyiapkan rumah itu.

“Setiap kali mak abah minta pulang ke rumah asal mereka, hati saya akan pecah. Saya tahu mereka sedih walau tak tunjuk.

“Saya gagal kali ini, tapi saya reda dan tidak berputus asa. Rezeki milik Allah. Saya beruntung dapat mentua yang cukup penyabar,” katanya menerusi satu perkongsian video di Instagram.

Menurut penyanyi lagu Pencuri itu, bukan mudah untuk menjaga tiga keluarga sekali gus. Namun Mark percaya itu juga merupakan sebahagian daripada tujuan hidupnya di dunia.

“Ini keluarga saya, saya akan kuatkan diri dalam apa sahaja keadaan. Saya janji akan siapkan rumah untuk mak abah di masa akan datang. Saya akan berusaha mencari rezeki yang halal dan tidak akan berputus asa untuk siapkan rumah.

“Bukan senang nak jadi ketua keluarga tambahan pula ada tiga, empat keluarga yang kena jaga. Saya terima selain penghibur inilah agaknya tujuan hidup dalam dunia,” tambahnya,

Sebelum ini Mark dan isterinya, Norazah Redzuan membuat pengakuan ditipu sehingga RM95,000 oleh seorang kontraktor. Mark telah membayar kesemua jumlah wang projek pembinaan tersebut yang sepatutnya siap sebelum Aidilfitri lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN