ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menolak untuk dinamakan sebagai calon Naib Presiden Pas pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan ke-69 parti itu, bulan depan.
Menteri Besar Kedah yang sudah dua kali menolak pencalonan bagi jawatan sama berkata, beliau hanya akan bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat kerana merasakan hanya layak untuk berada di kedudukan itu berbanding menjadi Naib Presiden Pas.
Katanya, walaupun ramai pihak dan penganalisis politik berpandangan beliau layak untuk berada di kerusi naib presiden, namun Muhammad Sanusi mengetahui kelayakan dan keupayaan diri sendiri berbanding orang lain.
“Saya tau diri saya tera (setara) mana. Dalam Pas kualiti untuk pimpin parti dan sektor lain berbeza cirinya. Jadi calon menang boleh tapi nak pimpin Pas kena ada ciri lain, sebab itu di Kedah saya boleh jadi Menteri Besar tapi Pesuruhjaya orang lain sebab kualiti dan ciri berlainan.
“Saya tak ada ciri itu dan Pas juga tak sama macam parti lain dan sebab itu saya rasa saya sampai situ sahaja (AJK Pas). Saya percaya dalam parti berdasarkan merit iaitu kelayakan, keupayaan dan kemahiran. Bukan kerana politik atau kita pandai lobi dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi meramalkan tidak ada individu atau ahli Pas yang akan mencabar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu kelak yang kini disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Namun, beliau menegaskan perkara itu bukan disebabkan ada larangan tertentu dalam parti tetapi sebaliknya ‘budaya’ tidak ada dua calon atau lebih yang akan bertanding kedua-dua jawatan itu kecuali pernah berlaku pada 2015 melibatkan Ahmad Awang yang mencabar Abdul Hadi.
“(Datuk Seri) Mohamad Sabu juga kalah kepada Tuan Ibrahim dan ramai lagi yang kalah bagi jawatan lain pada waktu itu sehingga menyebabkan kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Dalam Pas bebas, tak pernah ada halangan siapa nak bertanding boleh tapi tak ada orang bertanding. Tak boleh paksa orang bertanding dan saya jangka tahun ini pun tak ada pertandingan (Presiden dan Timbalan Presiden),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pas menerima keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Katanya, parti belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk merayu keputusan tersebut atau terus memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti dilakukan pada Parlimen Kuala Terengganu.
“Pasukan peguam akan bincang dengan parti. Kalau nak cepat diadakan PRK sama macam Kuala Terengganu dan Kemaman juga akan menghadapi senario sama, lagi besar menang cuma buang masa dan duit sahaja. Kita rejam depa sekali lagi, dua kali rejam dua kali lemas tak akan nak gagah lagi,” katanya. –UTUSAN










