“Sabah menangis, saya juga menangis, rakyat juga menangis

“Sabah menangis, saya juga menangis, rakyat juga menangis, langit juga menangis”

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitiskan air mata pada hari terakhir Kembara Kenali Borneo di Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Sabah menangis, saya juga menangis, rakyat juga menangis, langit juga menangis. Mereka (rakyat) masih berada di luar sana dalam hujan lebat menunggu kedatangan kita. Saya sudah basah separuh badan sebab kena buka tingkap untuk bersalam dengan mereka.

Itu antara momen yang dikongsikan oleh  Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas berakhirnya Kembara Kenali Borneo di Sabah.

Ini kerana selepas berakhirnya Kembara Kenali Borneo di Sabah pada Khamis, dapat dilihat dengan jelas keterujaan rakyat Sabah menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Di sebalik keterujaan itu, ada juga rakyat yang mengambil peluang tersebut untuk menyuarakan masalah kemudahan infrastruktur yang dihadapi di kawasan mereka. Situasi itu menggambarkan betapa terdesaknya rakyat Sabah untuk menyampaikan masalah mereka kepada Seri Paduka berdua.

Raja Permaisuri Agong turut dilihat menitiskan air mata semasa menyantuni rakyat yang sabar menanti kedatangan Seri Paduka berdua sehingga ada yang sanggup menunggu dalam keadaan hujan lebat.

“Terima kasih Sabah, saya akan ingat saat ini sepanjang hidup kami. Kami rasa bersalah melihat rakyat menunggu dalam keadaan hujan tapi, kami tidak dapat turun bersalam dengan mereka,” titah Tunku Azizah.

Malah, Al-Sultan Abdullah turut bertitah segala masalah dan aduan rakyat yang disampaikan kepadanya sepanjang Kembara Kenali Borneo itu akan dibawa untuk perhatian dan tindakan kerajaan Persekutuan.

Program Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bermula dari Tawau pada 3 September dan akan berakhir di Teluk Melano, Sarawak pada 13 September yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer (km).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Romzi Ationg berkata, keterujaan rakyat Sabah bertemu dan mengadu tentang masalah di Sabah mewajarkan penilaian semula kelemahan pelbagai pihak termasuk di peringkat negeri dan Persekutuan.

Langkah itu penting bagi memastikan Sabah terus membangun setanding negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Beliau berkata, sewajarnya aduan dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap penyediaan infrastruktur dan pelbagai masalah di Sabah dilihat secara lebih serius oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Penilaian semula yang dimaksudkan meliputi pencapaian kerajaan Persekutuan dan negeri dari dahulu dan sekarang; peranan yang dimainkan oleh pemimpin, peranan agensi kerajaan dan peranan pihak swasta serta sejauh mana rakyat diupayakan memilih wakil rakyat dengan lebih berhati-hati.

“Malah, dapat dilihat wujud harapan rakyat supaya sesiapa sahaja dalam kalangan Raja-Raja di negara ini dilantik sebagai Yang di-Pertua Agong mencontohi Al-Sultan Abdullah semasa menjalankan fungsi secara lebih menyeluruh seperti menilai keadilan pembangunan di Malaysia.

 

“Menerusi lawatan sebegini, Yang di-Pertuan Agong bukan hanya dapat maklumat secara langsung untuk menasihati kerajaan malah, tindakan sebegitu akan menimbulkan perasaan malu dalam kalangan pemimpin negara. Justeru, pemimpin perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan keadilan pembangunan dikecapi oleh rakyat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, lawatan Yang di-Pertuan Agong menerusi Kembara Kenali Borneo itu juga diharap mampu meningkatkan kesedaran pemimpin tentang hal-hal berkaitan integriti dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN