Rombakan Kabinet Persekutuan pasti akan berlaku-Ewon

Rombakan Kabinet Persekutuan pasti akan berlaku-Ewon

EWON BENEDICT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melihat terdapat keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet di peringkat Persekutuan.

Walau bagaimanapun, rombakan itu hanya bagi mengisi kekosongan jawatan sedia ada iaitu jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang kini dipangku oleh Datuk Armizan Mohd. Ali selepas penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayob meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Ewon berkata, rombakan bagi lantikan menteri itu sudah pasti ada dan selebihnya adalah bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia (Perdana Menteri) yang berhak merombak Kabinet tapi, pastinya aka nada rombakan untuk mengisi kekosongan yang ada dalam Kabinet sekarang.

“Perdana Menteri menyatakan sendiri kemarin, beliau sedang berfikir tapi, saya percaya ada keperluan untuk mengisi (jawatan) yang kosong. Rombakan yang mungkin melibatkan pertukaran dan sebagainya, itu saya tidak pasti,” katanya ketika ditanya mengenai khabar angin tentang rombakan Kabinet Persekutuan.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau juga akan mengemukakan semula cadangan terdahulu untuk menambah bilangan wakil rakyat Sabah dalam Kabinet Persekutuan.

Presiden UPKO itu berkata, semasa lantikan timbalan-timbalan menteri dahulu, beliau telah mencadangkan kepada Perdana Menteri agar sejumlah timbalan menteri itu dilantik dari Sabah.

“Dalam keadaan sekarang memang ada keperluannya kerana ada juga kementerian belum ada timbalan menteri seperti Kementerian Perpaduan Negara, yang tiada timbalan menteri selepas Kabinet ditubuhkan.

“Saya juga akan mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan penambahan wakil rakyat Sabah tapi, keputusan akhir itu adalah keputusan Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memberi bayangan mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun beliau berkata, keperluan merombak Kabinet ketika ini adalah tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan iaitu di KPDN. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×