PETALING JAYA: Pemuda Perikatan Nasional (PN) secara sinis mempersoal sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hairan dengan Menteri Kewangan yang dilihat tenang susulan kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Ketua Pemudanya, Fadhli Shaari berkata, ia berikutan Anwar ketika menjadi Ketua Pembangkang pada 4 Oktober 2022 sebelum ini didakwa pernah menyatakan kehairanan terhadap Menteri Kewangan ketika itu yang tidak bimbang akan kejatuhan mata wang negara.
“Menurutnya, ini adalah satu-satunya Menteri Kewangan yang tidak bimbang pada kejatuhan nilai ringgit negara dan ia sekali gus terkait dengan harga makanan.
“Nilaian AS$1 pada tarikh itu ialah bersamaan RM4.64. Hari ini apabila AS$1 bersamaan RM4.71, saya ingin bertanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah beliau sudah tidak hairan dengan Menteri Kewangan yang kelihatan sangat tenang dengan nilai mata wang ringgit negara pada hari ini?
“Kasihan rakyat, untuk berbelanja pun terpaksa pinjam 100 dengan nurnilam sari bayar esok,” tulisnya di media sosial.
Media sebelum ini melaporkan, kadar ringgit jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS pagi semalam, merosot kepada 4.7050/7095 daripada 4.6875/6915.
Paras terendah sebelum ini dicatatkan pada 19 September selepas ia menurun kepada 4.6890/6940 berbanding dolar AS. – UTUSAN