Putra desak SKMM hentikan sekatan media

Putra desak SKMM hentikan sekatan media, malukan Kerajaan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk serta-merta menghentikan amalan penapisan dan sekatan terhadap media. 

Ketua Penerangannya, Shahrulutfi Sharif berkata, Putra  mendesak SKMM untuk mempertahankan prinsip kebebasan bersuara, berbicara dan ekspresi, yang merupakan nadi demokrasi, yang dijamin dalam perlembagaan dan perkembangan progresif demokrasi. 

Menurut beliau, tindakan menyekat dan mengugut memalukan Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini memekik reformasi serta menuduh pihak-pihak lain bersifat zalim sebelum menjadi kerajaan.

“Kebimbangan tentang pembatasan yang dikenakan terhadap media dan rakyat, yang menghalang kemampuan mereka untuk secara bebas menyuarakan pandangan dan pendapat mereka akan menjuruskan ke arah negara kuku besi atau diktator.

“Perkembangan dunia internet dan kemajuan abad terkini tidak boleh lagi dengan amalan mempersendakan minda rakyat kerana rakyat sudah mampu menilai sendiri setiap berita yang dikeluarkan oleh mana-mana media sosial atau tulisan-tulisan dari blogger. 

“Hadapilah realiti dunia terkini dan jangan menjadikan kerajaan madani yang pengecut. Negara mempunyai berbagai-bagai undang-undang dan terserahlah kepada proses undang-undang jika ada pihak menyalahi kebebasan yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut,  Shahrulutfi berkata, Putra berpendapat bahawa penapisan media boleh menghalang kemajuan demokrasi.

Katanya, ini kerana ia menyekat aliran maklumat dan meredakan perdebatan yang sihat, menghadkan akses kepada pandangan alternatif boleh mencipta kesan kekongkongan yang menggugat prinsip kebebasan demokrasi masyarakat dengan baik, telus dan progresif.

“Putra menekankan kepentingan menemui keseimbangan antara keselamatan negara dan kebebasan individu. Sambil mengakui bahawa pembatasan tertentu mungkin diperlukan dalam keadaan tertentu, seperti kes-kes yang melibatkan keselamatan negara atau perlindungan hak rakyat, tetapi penapisan berlebihan, melampau dan dilihat takut kepada realiti kebenaran adalah amat memalukan Kerajaan Madani. 

“Pemimpin Politik dalam kerajaan boleh bercakap apa saja dan mengguna saluran media yang dibiayai oleh wang rakyat secara bebas dan menafikan pihak lain diberi peluang yang sama. Manakala, pihak lain menggunakan media swasta atau media sendiri, di sekat, dihalang dan diugut. Inikah dasar Kerajaan Madani yang takut pada bayang sendiri,” katanya.

Tambah beliau, Putra mendesak SKMM membuat penjelasan yang telus dalam proses penapisan media serta menggesa suruhanjaya itu untuk terlibat dalam dialog konstruktif dengan organisasi media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat  untuk memastikan perkembangan sihat daya intelektual rakyat berkembang dengan sihat. 

“Putra menyokong kebebasan berbicara dan ekspresi di Malaysia terus diperkasakan seperti yang dijamin dalam perlembagaan dan hak asasi rakyat selagi mana ianya tidak mencetuskan keselamatan rakyat dan negara. 

“Dan janganlah pula mengguna alasan keselamatan sewenang-wenangnya untuk menyekat rakyat mendapat berita dari semua pihak.

“Pemimpin politik dalam Kerajaan Madani janganlah hipokrit dan berlaku adillah kepada semua pihak. Malulah pada diri sendiri dan jangan cakap tidak serupa bikin. Kata dulang paku serpih,mengata orang pihak berkuasa yang lebih,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN