Pusat Susu Bonda Halimatussadia diiktiraf Malaysia Book of Record - Utusan Malaysia

Pusat Susu Bonda Halimatussadia diiktiraf Malaysia Book of Record

DZULKIFLI Abdul Razak (tengah) menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Record oleh wakilnya, Lee Pooi Leng ketika majlis perhimpunan kakitangan yang berlangsung di UIAM Kampus Gombak, selepas Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) diiktiraf sebagai pusat susu patuh syariah pertama di negara ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record sebagai pusat susu patuh syariah pertama di negara ini.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, pengiktirafan itu adalah salah satu kejayaan untuk warga universiti kerana merupakan satu-satunya pusat susu patuh syariah di negara ini.

“Mungkin juga di dunia Islam antarabangsa.

“Sepanjang usia UIAM 40 tahun ini, ia adalah pengiktirafan yang sangat membanggakan kerana pusat susu bonda ini menjadi salah sebuah pusat yang patuh syariah di Malaysia dan di dunia.

“Pada masa sama, konsep rahmatan lil alamin yang dibawa oleh universiti adalah amat bertepatan untuk kesejahteraan untuk semua”, katanya dalam kenyataan.

Sijil pengiktirafan itu diserah oleh wakil Malaysia Book Of Record, Lee Pooi Leng kepada Dzulkifli ketika majlis perhimpunan kakitangan yang berlangsung di UIAM Kampus Gombak.

HMMC yang terletak di Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) @ UIAM mula beroperasi pada hujung tahun 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif Hospital Mesra Bayi SASMEC @ UIAM.

Pada 26 Julai tahun lalu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM telah berkenan menyempurnakan perasmian HMMC, SASMEC @ UIAM.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, penyelidikan yang meluas dilakukan dan menubuhkan prosedur operasi standard (SOP) komprehensif yang mematuhi maqasid syariah dalam memelihara nyawa, keturunan, harta dan juga akal untuk menjadikan HMMC sebagai salah sebuah bank susu yang patuh syariah.

Katanya, pusat susu bonda juga telah berjaya mewujudkan sistem rekod melibatkan senarai penderma susu, jumlah bayi yang menerima susu dan bilangan kali jumlah susu yang diberi kepada seseorang bayi secara digital bagi mengelakkan berlaku anak susuan (mahram).

Jelasnya, sistem tersebut dibangunkan sendiri oleh tenaga pakar dalam bidang Teknologi Maklumat SASMEC @IIUM.

“Pada Februari 2020, pasukan HMMC telah mengadakan satu lawatan ke Bank Susu di Hospital Universiti Queen Elizabeth, Glasgow untuk memperoleh kemahiran mengenai teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu manusia dengan menyesuaikan prinsip Islam kedalamnya.

“Beberapa sesi dialog dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa agama negeri Pahang untuk mendapatkan panduan dan nasihat yang jelas tentang pematuhan syariah bagi penubuhan dan kelulusan pusat tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya