KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil sesiapa sahaja untuk dirakam percakapan termasuk seorang bekas menteri bagi membantu siasatan berhubung projek membabitkan percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan lanjut masih berjalan ketika ini dan tidak menolak kemungkinan bekas menteri terlibat juga akan dipanggil.
“Kita masih lakukan siasatan dan sesiapa saja yang kita (SPRM) rasakan perlu panggil untuk dirakam percakapan, kita akan panggil tidak kira siapa.
“Mungkin kita akan panggil beliau (bekas menteri) tetapi bukan sekarang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri ditahan SPRM kerana disyaki meminta rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Penahanan kedua-dua dipercayai ditahan semalam kira-kira pukul 11 malam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber berkata, suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan bersama suspek kedua yang juga pemilik syarikat berusia lewat 50-an dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.
“Rundingan berkenaan dibuat melalui syarikat milik suspek kedua,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid telah membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 September 2023 selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut.
Utusan Malaysia mendedahkan SPRM telah membuka kertas siasatan dakwaan rasuah melibatkan seorang bekas menteri berhubung pemberian tender.
Penelitian maklumat sedang dilakukan SPRM selepas satu laporan dibuat UMNO Wilayah Persekutuan pada Khamis lalu.
Dua hari lalu tular WhatsApp mengaitkan bekas menteri itu dengan beberapa individu berkaitan pemberian kontrak menyelenggara bangunan di bawah kementeriannya.
Mesej pertama, mengaitkan bekas menteri itu dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama yang didakwa membolot projek penyelenggaraan tersebut. – UTUSAN