KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sumber e-mel yang mendakwa terdapat ancaman bom di Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi mengesan sumber e-mel tersebut.
“Kita akan siasat sumber e-mail itu selain mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi menjejakinya,” katanya sini hari ini.
Semalam, Alludeen mengesahkan tiada sebarang ancaman bom ditemukan di BNM seperti didakwa dalam mesej tular.
Katanya, polis menerima laporan ancaman bom pada pukul 3 petang, semalam.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pengesanan dan pembersihan, namun tidak menemukan sebarang ancaman seperti didakwa,” katanya. – UTUSAN










