Polis Sabah jumpa dadah RM 3 juta dalam bungkusan teh cina

Polis Sabah jumpa dadah RM 3 juta dalam bungkusan teh cina

JAUTEH Dikun (dua kanan) menunjukkan dadah yang dimasukkan dalam bungkusan teh Cina dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang cuba mengabui mata pihak berkuasa dengan membungkus barang larangan tersebut  dalam bungkusan teh cina seberat 50.25 kilogram yang bernilai RM3 juta berhampiran Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tiga suspek lelaki warga tempatan berasal dari Sarawak dan berusia 27 hingga 38 tahun turut ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu.

Beliau berkata, semasa pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah melakukan serbuan terhadap kenderaan dinaiki suspek, salah seorang suspek cuba melarikan diri semasa menyedari kehadiran polis namun, suspek berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menjumpai dan merampas 50 bungkusan berisi teh Cina yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan berat kasar keseluruhan 50.25 kilogram bernilai kira-kira RM3 juta yang disembunyikan di bahagian belakang kerusi penumpang belakang.

“Siasatan awal mendapati, dadah itu dipercayai dibawa masuk melalui jalan darat dari Sarawak untuk dibawa ke Tawau bagi pasaran tempatan di Sabah dan negara jiran, Indonesia.

“Dadah seberat 50.25 kilogram itu boleh menampung kegunaan seramai 200,000 hingga 300,000 orang penagih.

“Turut disita wang tunai pelbagai mata wang, barangan kemas dan jam tangan yang bernilai RM17,067,” katanya semasa sidang akhbar di IPK Sabah hari ini.

Menurut beliau, ini adalah rampasan dadah terbesar yang dilakukan di Sabah pada tahun ini.

Jauteh berkata, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis syabu dan seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau (2010) di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 .

Katanya, dua daripada tiga suspek itu mempunyai hubungan persaudaraan manakala, salah seorang suspek pula bekerja sebagai pemandu e-hailing.

“Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

“Ketiga-tiga suspek direman bermula dari tarikh ditangkap sehingga 14 September ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN