PM gesa ASEAN Campur Tiga main peranan isu Peta Standard

PM gesa ASEAN Campur Tiga main peranan isu Peta Standard China 

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menggesa ASEAN Campur Tiga yang turut dianggotai China, Jepun dan Korea Selatan memainkan lebih peranan ke arah mencapai maksud damai bagi menyelesaikan isu Peta Standard China Edisi 2023 yang menunjukkan tuntutan maritim negara republik itu selain melangkau kawasan maritim Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini amat tegas dalam isu peta tersebut dan membantah mengenai pemetaan baharu berkenaan. 

Katanya, pihaknya juga menegaskan prinsip multilateralisme di balik pentas geopolitik yang lebih rencam dan dinamik pada masa ini.

“Malaysia menjunjung undang-undang antarabangsa termasuk yang berkaitan laut sebagai prinsip sejagat yang memagari setiap negara terkait laut dan sumbernya. 

“Tentunya Malaysia memilih jalan damai dan dialog dalam merungkai serta menyingkapi permasalahan ini, selain menggesa ASEAN Campur Tiga untuk memainkan lebih peranan ke arah mencapai maksud damai, selain menegaskan prinsip multilateralisme di balik pentas geopolitik yang lebih rencam dan dinamik dewasa ini,” katanya menerusi satu video di Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata demikian ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang berlangsung di Indonesia, Jakarta minggu lalu.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia kekal konsisten dalam mendukung usaha mencari penyelesaian konflik di Myanmar dengan pendekatan secara dua hala atau di peringkat serantau.

Katanya, negara juga berpandangan bahawa situasi di Myanmar adalah permasalahan serantau yang menggugat keselamatan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran ASEAN.

“Krisis Myanmar disuarakan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta dalam mencari jalan penyelesaian terhadap kegalauan berpanjangan dengan menggunakan segala wewenang yang bersesuaian,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN