JOHOR BAHRU: Penglibatan usahawan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) luar bandar ke dalam platform pemasaran digital mampu meningkatkan hasil jualan mereka sehingga 30 peratus, setahun.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Che Murad Sayang Ramjan menggesa usahawan mendigitalkan perniagaan mereka.
Menurut beliau, kementeriannya berjaya menarik penyertaan seramai 1,247 usahawan tempatan untuk mengikuti Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) yang dianjurkan pihaknya, tahun ini.
“Program Desamall bertujuan memperluas rangkaian perniagaan di samping meningkatkan hasil jualan produk usahawan dengan sasaran peningkatan pendapatan antara 10 sehingga 30 peratus selepas tempoh setahun.
“Program ini merupakan inisiatif kementerian dalam merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kesediaan mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras perkembangan teknologi terkini.
“Kita juga melepasi sasaran penyertaan yang ditetapkan sebelum ini iaitu seramai 1,000 peserta dalam kalangan usahawan desa, apabila setakat siri keempat, seramai 1,247 peserta telah berdaftar,” katanya ketika berucap pada majlis Program Pendigitalan Usahawan Desa yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini.
Tambah Che Murad Sayang, 90 peratus daripada usahawan desa yang berdaftar dengan pihaknya berjaya mencapai peningkatan jualan tersebut walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19 masih wujud.
“KKDW juga memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi pelaksanaan program PPU tahun ini. Ini komitmen kami dalam memantapkan lagi usaha membantu usahawan di bawah bimbingannya menguasai kemahiran digital.
“Antara langkah itu termasuklah penganjuran kursus serta latihan praktikal merangkumi aspek kira-kira, pengurusan stok, pengurusan gerbang pembayaran, akses internet dan kemahiran lain berkaitan perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu usaha mendigitalkan lebih ramai usahawan desa dibantu rakan strategik seperti Shopee, Lazada, Maxis dan CelcomDigi.
Untuk rekod, Program Desamall merekodkan jumlah jualan terkumpul sebanyak RM5.84 juta dengan Stock Keeping Unit (SKU) sebanyak 28,334 di semua platform e-dagang setakat 31 Ogos lalu.
Lebih 60,000 usahawan desa berada di bawah ekosistem keusahawanan KKDW dan daripada jumlah itu, 5,350 usahawan telah menyertai Program Desamall dengan memasarkan produk secara dalam talian di platform e-dagang.-UTUSAN