PETALING JAYA: Aset Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) boleh dikembalikan dengan syarat, pengurusan Tabung Haji sudah benar-benar bersedia sama ada dari sudut pengurusan mahupun kewangan.
Penasihat syariah kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, ini kerana Kementerian Kewangan sebelum ini mengambil aset berkenaan dengan harga premium berbanding harga pasaran demi menyelamatkan Tabung Haji.
Justeru, beliau percaya cadangan itu timbul kerana sebahagian aset Tabung Haji yang diserahkan kepada Kementerian Kewangan dahulu sudah diurus dengan baik, malah, kementerian itu juga mengeluarkan beratus juta lagi bagi memulihkan sebahagiannya.
“Yang itu (aset yang sudah pulih) boleh diserah semula dengan harga sama (semasa) Kementerian Kewangan ambil alih atau apa-apa harga yang ditentukan oleh Tabung Haji dan kerajaan.
“Namun, sebahagian aset ‘toksik’ Tabung Haji yang diserahkan ke Kementerian Kewangan masih belum cukup pulih kerana pasaran saham yang lembap, untuk aset jenis yang ini mungkin perlu dinilai dahulu dengan strategik, perlu dipindah semula atau dibimbangi ia akan menyukarkan kewangan dan penyata imbangan Tabung Haji,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Semalam, media melaporkan, kerajaan akan menyerahkan semula aset-aset Tabung Haji yang dipindahkan kepada SPV pada tahun 2018 ketika di bawah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan dipegangnya berpuas hati dengan prestasi kewangan TH yang terus pulih.
Pada 2018, media melaporkan, Tabung Haji memindahkan aset merangkumi hartanah dan ekuiti yang tidak menguntungkan kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV bagi memantapkan kedudukan kewangannya.
Oleh itu, Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion.
Mengulas lanjut, Zaharuddin melihat cadangan Perdana Menteri itu juga menunjukkan keberkesanan strategi pemindahan aset kepada anak syarikat Kementerian Kewangan untuk menyelamatkan Tabung Haji.
“Malah, hal ini turut melalui tiga kerajaan dari parti berlainan dan tiada perubahan drastik darinya, malah Suruhanjaya Diraja juga siap menyiasat dan tiada laporan negatif darinya yang dilaporkan.
“Juga dalam tempoh lima tahun, sebahagian aset sudah dipulihkan dan bersedia untuk pemindahan semula.
“Juga jelas dalam hal ini, tiada sebarang penjualan aset TH kepada pihak luar secara tidak bertanggungjawab dan sebenarnya, ia hanya dipindahuruskan kepada anak syarikat Kementerian Kewangan Malaysia sahaja,” katanya.-UTUSAN