Peserta program BeDigital Bootcamp ditawar pekerjaan - Utusan Malaysia

Peserta program BeDigital Bootcamp ditawar pekerjaan

SEBAHAGIAN daripada 96 graduan yang menyertai program BeDigital Bootcamp edisi Pantai Timur bergambar kenangan selepas majlis penutup program itu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 41 daripada 96 graduan universiti awam yang menyertai program BeDigital Bootcamp anjuran Petronas bagi edisi Pantai Timur berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan dengan gaji permulaan yang lumayan.

Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata, graduan yang mengikuti program itu didedahkan dengan modul berorientasikan kemahiran digital seperti teknik penterjemahan dan pengolahan data serta kemahiran pembentangan yang berkesan selama 12 hari berakhir semalam.

Menurutnya, mereka menerima tawaran pekerjaan daripada Petronas Digital Sdn. Bhd. dan rakan-rakan kongsinya serta beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.

Katanya, graduan terlibat dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu dan UiTM Kelantan. 

“Petronas berharap program ini berjaya meningkatkan kemahiran peserta untuk melangkah ke alam pekerjaan dan dunia keusahawanan digital di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut di sini, semalam.

Majlis penutup itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Beliau memberitahu, peserta itu juga menerima tawaran daripada Tata Consultancy Services (TCS), Ernst & Young (EY), Schlumberger Wta (M) Sdn Bhd, Alfameli Group, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB) dan Tajdid Corporation Sdn Bhd. 

Anak syarikat milik kerajaan negeri yang menawarkan pekerjaan pula ialah Terengganu Inc Sdn. Bhd. dan kumpulan syarikatnya iaitu Primula Beach Hotel Sdn. Bhd., Permai Hotel, Golden Pharos Berhad (GPB), Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan TI Properties Sdn. Bhd.

Sementara itu, seorang peserta yang merupakan pelajar UMP, Ahmad Akif Muhammad Izuan, 23, berkata, dia bersyukur apabila menerima tawaran kerja sebagai Eksekutif Aset, Perancangan dan Logistik di Petronas Digital bermula 1 Novomber depan.

“Saya sangat bertuah kerana terpilih sebagai peserta program dan berpeluang meningkatkan kemahiran yang relevan untuk  memenuhi permintaan pasaran kerja. 

“Saya harap Petronas akan meneruskan program ini pada masa akan datang sebab ia memberi banyak manfaat kepada graduan,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia itu.

Nurul Ikrimah Omar, 25, yang berjaya mendapat pekerjaan di Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) berkata, program tersebut memberi banyak ilmu baharu berkaitan teknologi digital.

“Ribuan terima kasih kepada Petronas kerana menganjurkan program ini dan kepada EPIC kerana memberi kepercayaan untuk saya menjadi sebahagian daripada warga kerjanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya