KANGAR: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM9 juta kepada Perlis bagi membina loji air di Arau dan Guar Sanji sekali gus membantu menyelesaikan masalah tekanan air rendah di kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerja-kerja pembinaan berkenaan sudah boleh bermula dan dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana menyalurkan peruntukan berkenaan untuk kepentingan rakyat negeri ini.
“Pembinaan loji itu sekali gus membantu menyelesaikan isu tekanan air rendah dihadapi pengguna sekitar kawasan Arau dan Kangar,” katanya di sini semalam.
Ditanya mengenai peruntukan masalah paip uzur di negeri ini, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri telah memohon peruntukan tersebut dan masih berharap diluluskan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih 50 peratus masalah kadar air berhasil (NRW) termasuk masalah paip uzur di negeri ini boleh diselesaikan jika Kerajaan Pusat meluluskan permohonan geran RM250 juta untuk tujuan tersebut.
Dalam perkembangan lain Mohd. Shukri memberitahu, peruntukan Kerajaan Persekutuan buat Perlis akan disalurkan menerusi Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
Justeru katanya, setiap pembangunan yang bakal dijalankan di negeri ini akan dilaksanakan oleh pihak ICU selepas ini.
“Bagaimanapun sebahagian daripada projek pembangunan di Perlis masih perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri antaranya melibatkan aspek tanah dan sebagainya.
“Pelaksanaan pemberian peruntukan menerusi ICU itu juga dijangka bermula dalam masa terdekat ini,” katanya. – UTUSAN