KUALA LUMPUR: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor yang memohon agar syarikat pemborong barang kemas, Global Royalty Global Royalty Trading SAL dari Lubnan memberikan kos jaminan sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta) akan didengar pada 28 November ini.
Kos jaminan itu berkait dengan saman syarikat terbabit terhadap Rosmah bagi mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta antaranya membabitkan rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara.
Menurut peguam Rajivan Nambiar, permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ong Chee Kwan.
Menjawab pertanyaan berhubung permohonan Global Royalty untuk penghakiman terus, Rajivan memberitahu, mahkamah menetapkan 26 Oktober ini pengurusan kes lanjutan.
Pada 10 Ogos lalu, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan permohonan supaya Global Royalty diperintah memberikan jaminan kos sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah dan memohon agar saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.
Menurut penyataan tuntutannya, Rosmah berkata jaminan kos itu adalah kerana jika beliau berjaya di dalam tindakan saman dan memperolehi kos terhadap syarikat terbabit, dia akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.
Tambahnya, plaintif adalah sebuah syarikat yang diperbadankan dan didaftarkan di Lebanon dan beralamat di Wata el Msaitbeh, Senno Building 8th Floor, Beirut, Lubnan.
“Plaintif adalah sebuah syarikat asing di luar bidang kuasa mahkamah ini. Malaysia tidak mempunyai sebarang perjanjian timbal balik bagi penguatkuasaan penghakiman dengan Lubnan,” kata Rosmah dalam permohonannya.
Pada 10 Ogos lalu juga, Global Royalty turut memfailkan permohonan agar saman terhadap Rosmah itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara penghakiman terus.
Penghakiman terus melibatkan prosedur tuntutan saman diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.
Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah buat kali kedua dengan menuntut perintah mandatori supaya barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan (kiriman) mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.
Plaintif berkata, ia memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada isteri bekas Perdana Menteri itu memintanya untuk mengembalikan barang kemas terlibat.
“Selepas itu, defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain (dikirim) kepadanya tiada dalam miliknya, tetapi disita pihak berkuasa dan kini dalam jagaan mereka,” kata syarikat terbabit.
Pada tahun 2019, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan.
Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya. – UTUSAN