Perlu RM223.4 juta tingkat pengairan - Utusan Malaysia

Perlu RM223.4 juta tingkat pengairan

Pengilang mengakui mereka kini terpaksa membeli padi daripada dengan harga bawah RM1,700 per tan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis memerlukan peruntukan RM223.4 juta untuk menyelesaikan isu sistem peng­airan di seluruh kawasan penanaman padi di negeri ini terlebih dahulu, sebelum boleh melaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun.

Masalah infrastruktur khususnya berkaitan sistem peng­airan di kebanyakan kawasan di negeri ini menjadi antara faktor pesawah di Perlis sukar melaksanakan penanaman padi sedemikian yang jika boleh dilakukan secara keseluruhan mampu membantu melonjakkan hasil beras negara.

Hal demikian kerana Perlis membantu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara dan jumlah itu boleh melonjak antara 15 ke 20 peratus jika tanaman padi dalam tempoh itu berjaya dilaksanakan melalui sistem peng­airan lebih sempurna.

Hasil pengeluaran padi di negeri ini adalah sebanyak 154,975,325 tan metrik semusim me­rangkumi kawasan tanaman seluas 27,883,29 hektar melibatkan keseluruhan 17,930 pesawah di Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, Perlis bersedia melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun namun masalah infrastruktur khususnya pengairan masih dalam keadaan tidak baik.

Katanya, ketika ini, RM39.8 juta diperuntukkan melaksanakan projek pembangunan sistem pengairan di empat blok pengairan terlibat.

Katanya, Perlis memerlukan lebih RM223 juta lagi yang masih dalam perancangan bagi melaksanakan projek pembangunan sistem pengairan di baki 10 blok kawasan pengairan sawah padi di seluruh negeri ini.

“Sistem perairan itu bakal menyediakan rangkaian infrastruktur sistem pengairan yang lebih cekap dan efisien dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi sekali gus mampu melaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun.

“Apabila kita hendak melaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun itu, masalah infra perlu di­selesaikan terlebih dahulu. Bagi kawasan yang mudah dapat air seperti di Kampung Lat 1,000 itu tidak mengapa, mudah untuk dilaksanakan.

“Namun di kebanyakan kawasan sawah di negeri ini, masih ketinggalan dari aspek pengairan. Kawasan kurang sumber bekalan air ini akan ketinggalan jika melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun ini,” katanya.

Katanya, Perlis berupaya menghasilkan hasil yang tinggi bagi membantu menampung keperluan beras negara jika sistem pengairan lebih baik untuk tanaman padi selain amalan pertanian dalam kalangan pesawah.

Dalam pada itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shaz­wan Suban berkata, jika sistem pengairan baik, tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun boleh dilaksanakan bukan sahaja di Perlis tetapi di seluruh negara.

“Kalau hendak laksanakan itu, soal infra kena eloklah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya