KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle mencipta kejutan mengumumkan bakal rujuk semula selepas bercerai 10 Ogos lepas:
Diana yang berusia 32 tahun mengesahkan akan ke mahkamah dalam masa terdekat bagi mempercepatkan proses tersebut.
“Kami akan ke mahkamah. Semua ini perlu dibuat mengikut proses.
“Tapi kami tidak tergesa-gesa. Bukanlah saya tak mahu umumkan (rujuk), tapi perkara ini melibatkan proses mahkamah,” katanya.
Diana berkata demikian ketika hadir ke Karnival Mega Suria 2023 baru-baru ini.
Diana ditemani Farid, 42, yang tidak dapat memberi sebarang kenyataan kerana mengalami sakit tekak.
Bagaimanapun, Diana sempat menyampaikan pesanan Farid selepas pelakon tersebut membisikkan sesuatu kepadanya.
“Kami tak pernah berhenti berdoa. Ini pengakhirannya yang telah ditentukan Allah S.W.T. Kami masih mencari jalan terbaik untuk masa depan, bina semula apa yang kami ada sebelum ini.
“Yang penting anak-anak tidak kehilangan kasih saya seorang bapa,” ujarnya.
Farid dan Diana sebelum ini bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari Selangor.