Perlis dilanda banjir, 70 mangsa terjejas

Perlis dilanda banjir, 70 mangsa terjejas

ANTARA rumah yang dinaiki air di Kampung Titi Besi, Arau, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar negeri dinaiki air.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Ulu Pauh dan Kampung Titi Besi di sini membabitkan 15 buah rumah yang dinaiki air paras betis.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, bagi kawasan Kampung Titi Besi, seramai 70 mangsa dilaporkan terjejas.

“Setakat petang ini (semalam) tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan agensi berkaitan sentiasa memantau perkembangan terkini memandangkan hujan masih berlarutan.

“Agensi-agensi berkaitan juga bersiap sedia di Kampung Ulu Pauh bagi menghadapi sebarang kemungkinan untuk pemindahan ke PPS,” katanya ketika turun padang meninjau situasi banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, di sini, semalam.

Setakat pukul 8 pagi semalam, Sungai Jarum berada pada paras bahaya dengan merekodkan paras air 34.31 meter manakala Sungai Arau pula berada pada tahap amaran dengan paras air 6.85 meter.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pula melaporkan, sebanyak 13 rumah terjejas dengan kejadian ribut membabitkan kawasan Padang Besar Selatan, Jelempok, Sentua, Sungai Berembang dan Sungai Padang.

Megat Hashirat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh berkata, antara pendekatan segera dilaksanakan bagi menangani banjir di Kampung Ulu Pauh adalah dengan menyalurkan sebahagian air dari Sungai Alor Melaka ke Sungai Arau.

Sementara itu, seorang mangsa di Kampung Titi Besi, Ahmad Yahaya, 77, berkata, rumahnya mula dinaiki di bahagian dapur susulan daripada hujan berterusan itu.
Katanya, dia sempat memindahkan barang-barang penting sebelum paras air naik.

“Kami empat beranak masih tinggal di rumah ini, bagaimanapun jika keadaan makin teruk kami pindah ke PPS bagi mengelakkan risiko bahaya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×