‘Perkauman jalan mudah tarik sokongan Melayu’ - Utusan Malaysia

‘Perkauman jalan mudah tarik sokongan Melayu’

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendekatan politik perkauman dilihat jalan paling mudah digunakan kebanyakan parti politik Melayu sebagai ‘senjata’ untuk menarik sokongan kaum itu.

Membangkitkan kebimba­ngan itu kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, untuk itu, DAP sering dijadikan sasaran sebagai perlambangan orang bukan Melayu di negara ini yang perlu ditentang semata-mata mendapatkan kuasa.

Beliau menjelaskan, amalan politik seperti itu bukan sahaja amat berbahaya, malah menyem­pitkan pandangan pengundi Melayu terutama golongan muda.

“Aliran politik Melayu apabila mereka sukar dapat soko­ngan dengan cara membentangkan dasar dengan positif dan idea, maka jalan paling mudah ialah jalan perkauman.

“DAP dibina persepsi itu sama dengan Cina. Sebenar­nya, bukan soal DAP, tetapi soal parti-parti politik di Malaysia yang ambil jalan mudah untuk dapat sokongan Melayu iaitu dengan membakar api perkauman bahawa negara ini mesti melanyak kaum Cina. Perkara ini berbahaya dalam negara,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau baru-baru ini.

Rafizi turut mengkritik Pas ketika dalam Pakatan Rakyat dahulu tidak pula ada masalah dengan DAP dan Cina, malah pemimpin mereka paling ramai berpelukan dengan pimpinan Cina.

Katanya, tindakan berpelukan itu bagi menunjukkan bahawa Pas yang dikonotasikan sebagai parti ekstrem Melayu Islam tidak ada masalah de­ngan Cina.

“Namun selepas itu, Pas merasakan bahawa susah nak dapat undi Melayu kalau membawa agenda yang boleh mempromosikan perpaduan kaum, jadi lagi mudah dia lanyak Cina, maka DAP jadi mangsa.

“Saya tak rasa DAP terkesan kerana walau macam mana lanyak DAP, DAP tetap mendapat sokongan bukan Melayu. Jadi, yang terkesan itu bukan DAP tetapi rakyat Melayu,” katanya.

Justeru kata Menteri Ekonomi itu, jika majoriti parti Melayu terus mengambil jalan cara mudah mendapat kuasa dengan meniupkan api perkauman, ia sekali gus merugikan bangsa itu sendiri.

Sedangkan kata beliau, parti-parti politik Melayu sepatutnya perlu bersaing secara sihat iaitu memikirkan bagaimana mahu membangunkan anak muda Melayu dengan merencanakan pelbagai program kemahiran demi mening­katkan gaji dan membantu mereka yang tercicir.

“Walaupun saya dalam PKR, tidak ada pun orang bukan Melayu pernah kritik saya walaupun kita berterusan cerita tentang bumiputera kerana tak salah untuk berbincang bagaimana kita nak memba­ngunkan kaum kita sendiri, tidak ada orang marah.

“Di Kelantan dan Terengganu, tidak ada orang Cina pun, adakah masalah selesai? Adakah tiba-tiba dengan tidak ada orang Cina di Kelantan dan Terengganu mereka kaya raya paling hebat? Tidak ada pun,” katanya.

Pada masa sama Rafizi berpendapat, kemajuan sesuatu bangsa bukan mencipta masalah dengan kaum lain tetapi soal kemajuan kaum Melayu sendiri tentang pendidikan, budaya, rajin, semangat dan jati diri.

Katanya, perkara itulah yang susah untuk dibawa Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta sebahagian parti lain yang ‘bising’ pasal Melayu.

Beliau berkata, adalah mustahil negara boleh keluar kemelut sekarang ini dengan bercakap soal Melayu sahaja kerana negara perlu bersaing di peringkat antarabangsa dan terbaik menggunakan semua kekuatan termasuk Cina dan India sebagai satu pasukan Malaysia untuk bersaing dengan orang lain.

“Kalau nak minta Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) bentangkan macam mana nak tingkatkan kemahiran Melayu, payah untuk dia. Jadi mudah untuk dia hentam Cina.

“Kalau berterusan (guna perkauman) yang ruginya Melayu, sedangkan orang bukan Melayu melihat perkara ke depan dan maju lagi, tetapi Melayu duduk tarik diri sendiri, itu masalah sebenar.

“Sebab itu saya tak ambil ‘port’ kalau orang kata DAP, kerana bagi saya itu masalah Melayu, bukan masalah orang lain yang hendak menekan Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN