KEMUNCULAN Nicole Lai menerusi lagu Rahsia Petua bergandingan dengan barisan rappers generasi masa kini seperti Kmy Kmo, Luca Sickta, Psychomantra dan Benzooloo membuka ruang kepada penyanyi itu menerjah masuk ke dalam dunia hiburan arus perdana Malaysia.
Nicole, menyahut cabaran baharu kerana kali pertama menyanyikan dan merakamkan lagu berbahasa Melayu meskipun dia masih dalam proses menambah baik tahap penguasaan bahasa kebangsaannya.
Pujian harus diberikan kepada penyanyi ini, yang tidak mengambil enteng malah meletakkan usaha penuh agar nyanyiannya tidak kedengaran kekok.
Ketika ditemui baru-baru ini, Nicole menceritakan pengalaman merakamkan lagu Rahsia Petua yang padanya cukup mencabar.
“Ini kali pertama saya bawakan lagu berbahasa Melayu dan saya akui, ia tidak mudah. Tetapi saya seronok menyanyikannya.
“Yang banyak mengajar adalah guru tuisyen saya, selain Brandon dari Universal Music yang terjermahkan ke dalam bahasa Cina agar saya faham lebih mendalam maksud liriknya.
“Sebelum rakaman sebenar, saya ada rakam beberapa cubaan menyanyikan lagu ini untuk bagi mereka dengar dan perbaiki sebutan bahasa Melayu saya,” katanya.
Kata Nicole, kejayaan lagu tersebut adalah bergantung kepada keberkesanan cara pembawakan penyanyi yang dituntut untuk memahami maksud terkandung dalam lirik lagu berkenaan.
“Saya beri tumpuan sepenuhnya pada lagu ini yang saya anggap asing disebabkan bahasa dan genrenya yang menggabungkan tradisional dan moden.
“Saya berborak-borak dengan kawan-kawan Melayu di restoran mamak untuk mendapatkan vibe lagu ini yang menceritakan tentang penyatuan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Peranan saya agak besar kerana saya diberi tanggungjawab untuk menyanyikan korusnya.
“Tapi saya bertuah kerana digandingkan dengan empat artis yang banyak membantu dan beri bimbingan ketika proses menyiapkannya. Segala usaha untuk lagu ini kami curahkan semua bersama-sama,” jelasnya.
SERONOK BAWA LAGU MELAYU
Penglibatan dalam Rahsia Petua membuahkan rasa seronok dan kecintaan dalam diri penyanyi muda ini terhadap lagu bahasa Melayu. Kata Nicole, dia sedia merakamkan single dalam bahasa kebangsaan jika diberi peluang di masa akan datang.
“Sebelum ini, saya banyak menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi sedia ada secara suka-suka. Kalau tawaran untuk merakamkan lagu bahasa Melayu sendiri, saya akan cuba.
“Mungkin selepas ini saya berpeluang untuk berduet dengan artis lain pula, siapa tahu?,” katanya lagi.
TERUJA SARUNG BAJU KURUNG
Antara keunikan yang boleh dilihat dalam klip video Rahsia Petua adalah apabila proses penggambarannya dibuat di beberapa lokasi menarik dalam negara termasuk Batu Caves, Kundasang, Sabah, Dataran Merdeka dan rumah ibadat Thean Hou di Bangsar.
Menurut Nicole, cabaran bukan sahaja dirasakan ketika merakamkan lagu tersebut, malah ketika sesi penggambaran klip videonya yang dilakukan dalam keadaan cuaca yang agak mencabar.
“Untuk bahagian saya, penggambaran bawah panas terik antara pukul 9 hingga 12 tengah hari. Selain cuaca, keadaan sekitar juga mencabar kerana dibuat di kawasan rumah ibadat yang dikunjungi orang awam dan pelancong asing.
“Tapi saya seronok kerana berpeluang menyarungkan baju kurung dengan berlatar belakangkan rumah ibadat Cina dalam keadaan cuaca panas.
“Saya lega kerana proses penggambaran berjalan lancar hasil kerja pengarah profesional yang lebih awal sudah membayangkan babak-babak yang ingin dimasukkan dalam klip video lagu tersebut,” kongsinya.