PETALING JAYA: Anak-anak perantau yang memilih untuk menetap dan menyumbang bakti kepada negara lain tetap menyayangi Malaysia walaupun berada jauh dari tanah air.
Menurut mereka, selain imbuhan yang lebih berbaloi, kepakaran yang ada pada mereka tidak dapat digunakan sepenuhnya di negara ini.
Saintis dan Pensyarah Kanan dan Fakulti Perubatan, Jabatan Imunologi, Pusat Kajian Sel Stem Kanser, Universiti, Kanagawa, Jepun, Dr. Abd Aziz Ibrahim berkata, beliau memilih untuk berada di negara matahari terbit tersebut kerana beranggapan dia boleh memberi sumbangan yang lebih untuk masyarakat dunia.
Kata beliau, keputusan menetap di Jepun bukan bermakna dia tidak sayang kepada negara walaupun kadangkala muak dengan masalah yang dihadapi oleh negara tidak kira sama ada dari aspek ekonomi mahupun politik.
“Secara jujurnya saya menganggap saya dapat melaksanakan sumbangan kepada masyarakat jauh lebih baik ketika berada di sini berbanding Malaysia.
“Contohnya, saya tidak perlu fikir tentang dakwah Islam dekat Malaysia, saya juga tidak perlu fikir bagaimana mahu membangunkan Islam dan komuniti Melayu sebab sudah ada kumpulan atau pihak yang melakukannya.
“Tetapi apabila saya berada di Jepun, saya dengan komuniti Melayu muslim yang ada perlu sama-sama melaksana dan memikirkan tentang Islam. Macam mana mahu tunaikan zakat, bagaimana mahu kuatkan komuniti Melayu di Jepun, itu yang sedang saya laksanakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dr. Abd. Aziz berkata, semua pencapaian yang diperoleh sepanjang kerjayanya, beliau tidak pernah lupa untuk membawa nama Malaysia dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyokong perjalanannya.
“Saya juga kibarkan Jalur Gemilang, bukan sahaja di Jepun tetapi juga di dunia. Sebagai saintis muslim Malaysia yang menjalankan kajian mengenai penyakit Covid-19, penyakit leukimia. Saya sentiasa kibarkan bendera tanah air.
“Saya tidak pernah lupa untuk menamakan bekas penaja saya iaitu Yayasan Pelajaran Mara (YPM) terhadap segala pembentangan kertas kerja saya,” katanya.
Sementara itu, seorang jurutera di Sheffield, England iaitu Nik Fazli Sapian berkata, bekerja di luar negara bukan tanda hilangnya cinta kepada tanah air tetapi disebabkan peluang yang diperoleh ketika bekerja di negara lain.
“Kita lihat pada margin pendapatan Malaysia sudah hampir 20 tahun kekal sama, graduan baharu dari dahulu maksimum mereka boleh dapat hanya sekitar RM2,500. Ini zaman saya mula-mula bekerja lagi.
“Malah, banyak kepakaran yang kita lahirkan di universiti tidak ada peluang pekerjaan sebab Malaysia belum bersedia untuk menawarkannya.
“Sebagai contoh macam saya pakar dalam reka bentuk mekanikal untuk turbin angin, kita tidak ada pekerjaan dalam bidang itu,” jelasnya.
Namun beliau berpendapat, sebahagian perantau mungkin memilih untuk bekerja di luar negara kerana masalah politik yang dihadapi oleh negara. – UITUSAN










