Penjawat awam, pemilik syarikat ditahan disyaki terlibat kes rasuah - Utusan Malaysia

Penjawat awam, pemilik syarikat ditahan disyaki terlibat kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini menahan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam selepas disyaki terlibat kes rasuah pada 2016.

Penahanan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek pertama yang merupakan pembantu tadbir kanan sebuah agensi kerajaan negeri dipercayai menerima rasuah iaitu sebuah kenderaan bernilai lebih RM90,000.

Rasuah itu diberikan oleh suspek kedua sebagai balasan memastikan kerja-kerja pembekalan di agensi berkenaan dari 2017 sehingga 2023 bernilai RM230,000 diperolehi syarikatnya.

Kenderaan tersebut disyaki telah digunakan oleh suspek sejak 2016 lagi.

Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kemaman dekat sini pada pukul 3 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hazrul Shazreen Abd. Yazid, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman esok bagi mendapatkan perintah permohonan reman dan membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN