HULU TERENGGANU: Seorang peniaga sanggup membelanjakan kira-kira RM400,000 untuk mengubah suai sebuah rumah bot berkonsepkan tradisional Melayu sebagai tarikan pelancong di Tasik Kenyir dekat sini.
Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, dari Kampung Pauh berkata, konsep yang turut menonjolkan reka corak awan larat itu memberikan kelainan berbanding rumah bot sedia ada selain sebagai usaha memulihara seni warisan.
Menurutnya, kerja-kerja ubah suai mula dijalankan April lalu dan sehingga kini kira-kira 10 tan kayu cengal digunakan terutamanya melibatkan bahagian dinding, lantai dan kemudahan kerusi serta meja.
“Melihat potensi pelancongan yang ada di Tasik Kenyir ini, saya membeli sebuah rumah bot terpakai dengan harga RM220,000 pada tahun lepas. Saya kemudiannya beroperasi selama enam bulan untuk melihat sambutan pengunjung.
“Memandangkan jiwa saya begitu minat dengan seni ukiran kayu dan tradisional, rasa tidak lengkap rumah bot tanpa semua itu. Akhirnya buat keputusan untuk ubah suai hampir keseluruhannya dengan dibantu lima pekerja.
“Selain elemen ukiran kayu awan larat, bahagian hadapan serta belakang rumah bot ditonjolkan konsep rumah lama seperti ‘limau bungkus’, dindingnya pula ‘janda berhias’ yang biasa dibuat di rumah-rumah pembesar dan istana sahaja,” katanya ketika ditemui di Tasik Kenyir di sini, hari ini.
Tambah datuk 10 cucu ini, rumah botnya yang
berukuran 30 meter panjang dan 8 meter lebar itu kelihatan seperti rumah Melayu tradisional yang boleh bergerak atas air dan dijangka kembali beroperasi Oktober depan.
Katanya lagi, rumah bot yang mempunyai kemudahan lapan bilik tidur itu mampu memuatkan seramai 25 penumpang pada satu-satu masa dan kadar bayaran atau pakej belum diputuskan lagi buat masa ini.
Tun Ahmad berkata, dia turut mempunyai 18 buah rumah tradisional Melayu serta ukiran yang disiapkan dalam tempoh 17 tahun dan rumah-rumah berkenaan terletak di Kampung Pauh, Kuala Berang dijadikan inap desa. –UTUSAN