Pengusaha dakwa 300,000 kelapa tidak terjual

Pengusaha dakwa 300,000 kelapa tidak terjual

PEMBEKAL menunjukkan lambakan kelapa yang sudah bercambah akibat saingan kelapa Indonesia ketika ditemui di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Peraih dan pengusaha kelapa di daerah ini menganggarkan lebih 300,000 biji kelapa tidak terjual berikutan harga rendah disebabkan kemasukan buah tersebut dari Indonesia yang lebih murah.

Pengerusi peraih dan pengusaha kelapa tua Bagan Datuk, Abdul Aziz Mokhtar berkata, masalah itu dialami sejak tiga bulan lalu menyebabkan kelapa yang tidak terjual kini sudah bercambah.

Katanya, secara keseluruhan dianggarkan 300,000 biji kelapa di daerah ini tidak terjual, sama ada yang ada di premis peraih dan di kebun.

Menurutnya, di kawasan Selekoh di sini sahaja dianggarkan terdapat 150,000 biji kelapa tidak terjual disebabkan saingan daripada kelapa Indonesia.

“Punca utama masalah ini ialah kemasukan tidak terkawal kelapa dari Indonesia yang lebih murah. Sehubungan itu, kami pekebun kelapa di sini meminta kerajaan mengatasi masalah ini dengan beberapa langkah antaranya mengawal kemasukan kelapa Indonesia yang terlampau banyak ketika ini.

“Kerajaan perlu mengawal permit import atau AP, bukan tak boleh import kelapa luar tapi ikut kesesuaian. Jangan bawa masuk secara berkelebihan kerana ini akan memberi kesan kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Aziz berkata, pengusaha kelapa mahu kilang memproses santan di sini membeli sekurang-kurangnya separuh kelapa di Bagan Datuk untuk mengatasi masalah lambakan kelapa.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memberi subsidi khas secara one off kepada pekebun ketika kelapa sukar untuk dijual ketika ini, sama seperti subsidi kepada penternak ayam ketika penternak ayam menanggung kos operasi yang tinggi.

“Untuk jangka panjang, kerajaan wajar menubuhkan Lembaga Kelapa Malaysia sebagai usaha membantu penanam kelapa khususnya pekebun kecil bukan sahaja untuk menggalakkan penanaman kelapa dengan lebih meluas sekali gus mengurangkan import buah tersebut.

“Penubuhan lembaga kelapa membolehkan pekebun kelapa memperoleh banyak faedah seperti subsidi dan sebagainya. Paling penting ia dapat membantu pekebun jika berlaku masalah harga kelapa yang rendah seperti sekarang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu membantu pekebun mengatasi masalah kelapa tidak terjual jika mahu menjadikan Bagan Datuk sebagai pengeluar kelapa terbesar di negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya