MELAKA: Pengunjung yang hadir menyaksikan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 ralat dan tidak berpuas hati apabila perlu membeli semula tiket masuk selepas ruang pameran ditutup sementara untuk Solat Jumaat.
Tinjauan Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini mendapati, pihak penganjur meminta para pengunjung beredar dari tapak pameran pesawat pada pukul 12.30 tengah hari.
Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Laila, 39, berkata, dia terpaksa beratur panjang pada sebelah pagi untuk mendapatkan tiket masuk.
Katanya, petugas di kaunter tiket tidak memaklumkan tiket itu adalah untuk sekali kemasukan sahaja, selain tiada jadual program yang diletakkan di kawasan terminal.
“Rasa ralat sedikit sebab saya datang dari Kuala Lumpur untuk melihat lebih dekat pertunjukan akrobatik dan pesawat. Malangnya tidak sempat melihat semua pesawat kami diminta keluar kerana ruang pameran hendak ditutup.
“Saya diberitahu petugas karnival perlu membeli tiket baharu jika mahu menyaksikan persembahan udara yang berlangsung pada 2.30 petang. Mengapa saya kena bayar lagi sedangkan pihak penganjur yang meminta kami beredar?
“Walaupun tiket berharga RM5 untuk dewasa, saya rasa perlu mekanisme kemasukan yang lebih baik pada masa hadapan. Kasihan kepada kanak-kanak dan warga emas yang datang dari jauh terpaksa keluar, menunggu dan berbaris semula untuk membeli tiket,” katanya.
Sementara itu, pengunjung dari Batu Pahat, Johor, Muhamad Nur Iqmal Md. Zaini, 27, berkata, dia menyambut baik tindakan pihak penganjur yang menghormati waktu Solat Jumaat, tetapi pada masa sama mahu tindakan penutupan sementara itu dikaji semula.
Menurutnya, pengunjung yang datang dari jauh sepertinya diberikan kemudahan untuk menunaikan solat.
“Kalau boleh letakkan kakitangan wanita atau bukan Islam untuk bertugas sementara di kawasan pameran. Jangan ditutup terus kepada pengunjung kerana ada yang datang dari jauh terpaksa menunggu dua jam sebelum pameran bersambung semula.
“Khemah besar tidak mencukupi, cuaca pula panas terik. Kalau boleh maklumkan tentatif program lebih awal supaya kami boleh membuat perancangan,” ujarnya. – UTUSAN