PONTIAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan menjadi titik tolak kepada pengundi di kawasan tersebut bagi menyekat gelombang hijau di negeri Pahang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jika pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor berjaya melakukannya pada 9 September lalu, kini giliran mereka pula untuk menunaikannya.
Katanya, secara sifirnya, peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi tersebut adalah cerah melalui gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Menurut beliau, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham memperoleh majoriti undi sebanyak 4,048 manakala calon daripada PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031 undi).
“Jika ingin kekal sebagai kawasan penyokong kerajaan, mereka perlu memilih calon dari BN, namun, sebaliknya jika mereka memilih calon lawan, DUN Pelangai akan menjadi kawasan pembangkang,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas melawat Dewan Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah Tampok, Benut yang terbakar pada hari Ahad lalu serta menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pentadbir sekolah di sini, pagi ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon manakala 7 Oktober depan sebagai hari membuang undi.
Kerusi DUN Pelangai kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
BN menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam sebagai calonnya manakala PN menampilkan Naib Ketua Pas Bentong, Kassim Samat.
Tambah Ahmad, pemilihan calon BN yang merupakan anak tempatan dari Felda Chemomoi diharap menjadi kelebihan kepada pengundi untuk meletakan calon mereka berada di DUN Negeri Pahang.
“Jentera pilihanraya juga diberikan taklimat dan penerangan mengenai gerak kerja yang perlu mereka lakukan bagi memastikan kerusi DUN Pelangai kekal ditangan UMNO dan BN,” jelasnya.
Mengenai kebakaran di Dewan SMK Bugisiah, pihaknya menyokong penuh permohonan yang dikemukakan oleh pihak kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membina semula bangunan tersebut.
Selain itu, permohonan juga dibuat bagi membina semula satu blok bangunan yang tidak selamat untuk diduduki sebagaimana perakuan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.
“Anggaran kos bagi kedua-duanya antara RM2 juta hingga RM3 juta dan ketika ini pelajar-pelajar tingkatan enam menumpang sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Sinaran Tampok yang berada bersebelahan,” ujarnya. –UTUSAN