Pengawal peribadi menyamar polis ditahan

Pengawal peribadi menyamar polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengawal peribadi ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis sambil menayangkan senjata api di sebuah kawasan perumahan di Bandar Sungai Long, Kajang, dekat sini, kelmarin.

Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan berhubung kejadian itu semalam daripada lelaki tempatan yang juga pengawal keselamatan di kawasan perumahan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, ketika sedang bertugas,  pengawal keselamatan itu didatangi suspek yang ingin memasuki kawasan perumahan berkenaan di Bandar Sungai Long untuk bertemu teman wanitanya.

“Pengawal keselamatan itu  kemudian meminta pengenalan diri daripada suspek untuk didaftarkan sebagai pelawat, namun suspek enggan memberi kerjasama dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Bagaimanapun, pengawal keselamatan itu  yang tidak mempercayai kata-kata suspek membuatkan lelaki itu berang sebelum membuka pintu kereta dan menunjukkan sepucuk pistol terselit di pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, suspek turut memaki hamun dengan kata-kata kesat dan menakutkan menyebabkan pengawal keselamatan itu membenarkan suspek memasuki kawasan perumahan berkenaan.

“Sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 IPD Kajang menahan suspek seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama sepucuk pistol dan 10 butir peluru hidup.

“Semakan mendapati suspek bukan anggota polis sebaliknya bekerja sebagai pengawal peribadi persendirian dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN