PETALING JAYA: Pengasuh pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini ditahan selepas didakwa mencederakan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis mengesan dua klip video berdurasi satu minit 10 saat dan 56 saat di aplikasi Facebook hari ini yang memaparkan wanita mencederakan kanak-kanak itu.
Menurutnya, polis menerima laporan dibuat bapa mangsa berhubung kes berkenaan pada 11.28 pagi.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 1 tengah hari semalam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat tangkapan ke atas suspek berusia 28 tahun.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.-UTUSAN










