PETALING JAYA: Pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Datuk Munirah Abdul Hamid dilapor meninggal dunia awal pagi hari ini.
Perkhabaran duka itu dikongsikan bekas menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi aplikasi Instagram.
“Adik perempuan ibu saya, Munirah Abdul Hamid telah meninggal dunia hari ini. Solat jenazah akan diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada pukul 11.30 pagi. Semoga Allah merahmati rohnya. Al-Fatihah,” tulis Khairy.
Munirah, 70, dilaporkan telah pulang ke Rahmatullah pada pukul 4 pagi tadi di rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur.
Allahyarhamah sangat aktif dalam dunia sukarelawan sehingga menubuhkan Pertiwi Soup Kitchen bagi membantu golongan yang memerlukan terutamanya gelandangan. – UTUSAN










