PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan mati dalam sebuah kereta di Batu 14, Puchong, Subang Jaya di sini awal pagi semalam selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, pada Ahad lalu.
Mangsa yang juga penganggur berusia 26 tahun ditemukan maut kira-kira 12.50 tengah malam dalam sebuah kereta Proton Gen2 di kawasan sebelah Stesen Minyak Petronas, Batu 14, Puchong di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakannya ketika berada di kawasan PPR Kampung Muhibbah dekat sini.
Katanya, susulan itu, bapa mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil pada pada 5 pagi, Isnin lalu.
“Bapa mangsa mengetahui tentang anaknya dilarikan selepas dimaklumkan oleh teman wanita anaknya.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan empat lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun di sekitar Lembah Klang, yang disyaki melarikan mangsa dari PPR Muhibbah, “ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Alllaudeen, siasatan awal yang dijalankan mendapati motif kejadian ini dipercayai dendam akibat mangsa melarikan barang milik suspek utama yang masih diburu.
Setakat ini, katanya, polis masih memburu dua lelaki termasuk satu suspek utama berusia 40-an yang juga seorang warga asing.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua empat suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah narkotik selain turut positif dadah semasa ditahan,” katanya.
Siasatan dijalankan Polis Kuala Lumpur mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang manakala Polis Kontinjen Selangor membuka siasatan di bawah Seksyen 302 kanun yang sama atas kesalahan membunuh. – UTUSAN