Penerimaan pengundi Pelangai kepada BN meningkat - Tok Mat - Utusan Malaysia

Penerimaan pengundi Pelangai kepada BN meningkat – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Sentimen penerimaan pengundi Pelangai terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat berbanding beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini sekali gus memberikan satu keyakinan positif untuk mempertahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, momentum kempen pilihan raya itu semakin baik dari sehari ke sehari sejurus selepas hari penamaan setelah melihat sambutan positif dalam kalangan rakyat kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Katanya, jentera BN dan parti-parti Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras sehingga saat akhir iaitu sebelum hari pengundian 7 Oktober ini bagi terus meyakinkan pengundi agar mereka keluar mengundi bukan sahaja demi memenangkan calon BN, tetapi meraih majoriti besar.

“Dalam keadaan sekarang selepas penamaan calon, nampak momentum kempen semakin baik. Daripada pemerhatian saya sepanjang menjadi Pengarah Pilihan Raya, kalau dibandingkan dengan PRK tempat lain, bahasa badan dan sambutan pengundi di sini amat baik sekali.

“Jadi kita berharap jentera BN dan parti Kerajaan Perpaduan terus bekerja kuat hingga saat akhir, tidak guna berceramah dan meyakinkan pengundi tetapi mereka tidak keluar mengundi. Jadi kepada pengundi, keluarlah sekejap, untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Sembang Santai PRK Pelangai di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Chemomoi di sini semalam.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun daripada BN meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

BN mengetengahkan Amizar selaku calon anak tempatan manakala bekas guru, Kasim Samat mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zul Hasli.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).

Pada masa sama, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pengundi Pelangai perlu memilih calon yang sealiran dengan kerajaan negeri dan Pusat yang dilihat menguntungkan mereka kerana mempunyai suara yang terus kepada kepemimpinan negara.

Katanya, penduduk Pelangai diingatkan tidak terpengaruh cerita-cerita termasuk sentimen yang dibawa orang luar yang turun berkempen ke sini kerana akhirnya mereka akan menderita selama lima tahun.

“Dengar cerita mereka selama 14 hari memanglah sedap, tetapi menderita esok selama lima atau empat tahun ialah pengundi yang akan berdepan kehidupan seharian.

“Jangan terpengaruh cerita-cerita orang luar, bukan orang sini. Mereka akan balik, tetapi yang akan bermasalah pengundi. Walaupun PRK Pelangai bukan bertujuan untuk menentukan siapa jadi kerajaan, tapi ia penting agar dapat memilih wakil yang sealiran dengan kerajaan negeri dan Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN