KUALA LUMPUR: Pembangkang mencadangkan kerajaan supaya pembinaan dan pelaksanaan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) 2 dan LCS 3 diberi kepada kontraktor asal iaitu Naval Group daripada Perancis.
Ahli Parlimen Tanah Merah daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kontraktor itu perlu diberi opsyen dan terma kontrak untuk menggunakan mana-mana bahagian yang sudah dibeli dan disiapkan oleh syarikat yang bertanggungjawab terhadap kegagalan LCS, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) bagi mengurangkan kos pembinaannya.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, pelaksanaan terbaik bagi kerajaan adalah mendengar dengan adil daripada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan berlapang dada.
“Kapal LCS 1 sudah 70 peratus siap, mungkin bajet tambahan berjumlah RM2.2 bilion yang baru diumum kerajaan pada April 2023 perlu digunakan sepenuhnya kepada usaha menyiapkan Kapal LCS 1 sahaja.
“Cadangan saya menyebut tentang Naval Group pula, selepas Kapal LCS 2 dan LCS 3 disiapkan oleh Naval Group Perancis nanti, barulah kerajaan mempertimbang keperluan pembinaan Kapal LCS 4 dan 5 kepada pihak BNS kembali.
“Sekurang-kurangnya Kapal LCS 2 dan 3 akan siap dibina oleh pihak Naval Group Peranchis dalam masa tiga tahun dalam kos pasaran sebagaimana yang terbukti pada Angkatan Laut Mesir dan juga Emiriah Arab Bersatu (UAE),” katanya semasa perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, petang semalam.
Ikmal Hisham berkata, beliau tidak berniat menafikan keupayaan jurutera-jurutera tempatan di bawah Syarikat BNS.
Bagaimanapun, katanya, laporan audit forensik menyimpulkan terdapat kecurangan besar berlaku di pihak pengurusan tertinggi BNS yang menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung kerajaan dan memberi kesan buruk terhadap kesiapsiagaan TLDM menjaga kedaulatan negara.
“Yang menjadi mangsa adalah TLDM dan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya Kementerian Pertahanan menetapkan garis ambang atau ‘garis merah amaran terakhir’ sebagai had tempoh bagi membolehkan pengisytiharan kegagalan LCS sebagai tindakan akhir kerajaan.
“Katanya, amaran itu juga boleh dijadikan indikator kepada pemain industri perkapalan bagi mengelak berlaku kepincangan seperti yang berlaku ke atas projek LCS.
“Apakah bentuk mesej kepada pemain industri perkapalan dalam dan luar negara yang ingin Kerajaan tunjukkan apabila berterusan membenarkan kecurangan atau ketidakcekapan ini berlaku?
“Apakah rasional keputusan Kerajaan menambah kos siling pembinaan kapal LCS daripada angka asal iaitu RM9.12 bilion untuk enam buah kapal kepada RM11.2 bilion untuk hanya lima buah kapal?,” soalnya.
Beliau juga mempersoal jika reka bentuk terperinci sudah siap, dan kegagalan menyiapkannya membuatkan beliau musykil akan LCS 1 jika boleh disiapkan pada Ogos 2026 seperti yang dijadualkan.
“Ini adalah projek besar yang mempunyai perjanjian tambahan paling banyak dalam sejarah walaupun prospek kejayaannya semakin gelap,” katanya. – UTUSAN