Pembaikan Lebuhraya Pasir Gudang siap sepenuhnya Oktober ini

Pembaikan Lebuhraya Pasir Gudang siap sepenuhnya Oktober ini

ONN Hafiz meninjau kemajuan kerja pembaikan dan penurapan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia membabitkan 23 kerja pembaikan jalan di sepanjang lebuh raya tersebut yang kini sudah berada di fasa akhir.

“Saya turut ambil maklum berkenaan aduan rakyat tentang kesesakan teruk yang berlaku akibat daripada kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan ini.

“Saya memohon agar semua pengguna untuk menggunakan laluan alternatif sehingga pertengahan Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan Lebuhraya Pasir Gudang, di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk jangka masa pendek, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat garisan jalan sementara bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku.

Katanya, antara laluan alternatif yang dicadangkan ialah keluar melalui Jalan Pandan (FT03) dan susur Jalan Rinting selain melalui Jalan Masai Lama (J10) bagi laluan dari Johor Bahru ke Pasir Gudang dan dari Pasir Gudang ke Johor Bahru.

Selain itu, katanya, pengguna dari Senai ke Ulu Tiram boleh melalui melalui susur Bandar Dato Onn, keluar Adda Height dan melalui Taman Daya dan Mount Austin, keluar susur Aeon Tebrau.

“Bagi laluan dari Skudai ke Ulu Tiram, pengguna boleh keluar di susur Angsana Mall melalui Jalan Tampoi dan keluar Kampung Ubi Baru.

“Saya juga meminta pihak JKR dan konsesi meneliti isu ini dan mendapatkan penyelesaian terbaik demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Saya meminta agar pengguna untuk bersabar sedikit dalam menghadapi isu kesesakan ini demi keselesaan dan keselamatan kita semua pada masa hadapan,” ujarnya.

Katanya, inisiatif dalam menambah baik infrastruktur yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat dan impak positif kepada kualiti kehidupan seharian rakyat negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN