PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menuntut Peguam Negara (AG), Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh membuat pengesahan garis masa diperlukan untuk memutuskan isu berkaitan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lagi boleh senyap seribu bahasa kerana kes tersebut sudah menarik perhatian dan persepsi kurang baik sehingga ke media antarabangsa.
“Pejuang juga menggesa AG baru untuk mengambil tindakan arahan amalan baru yakni mana-mana kes pendakwaan berprofil tinggi atau mana-mana kes pendakwaan yang telah mencapai kes pembelaan wajib diterus dan diputuskan oleh Mahkamah.
“Sekurang-kurangnya boleh guna proses rayuan oleh mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan di akhir pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bimbang dengan trend yang kian menjadi berkaitan kes-kes berprofil tinggi kerana ia menunjuk ke arah ketidakcekapan AGC.
“Terkini kes ‘DNAA’ Ahmad Zahid dan pembatalan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy. Dalam jangka masa seminggu, dua kes membabitkan dua personaliti tertinggi UMNO ini, nampaknya seolah-olah mendapat laluan mudah di Mahkamah.
“Bagaimanakah kes Zahid Hamidi pada tahap prima facie telah dipanggil oleh mahkamah setelah 99 saksi, 53 hari perbicaraan dan pembelaan pula 15 saksi. Tiba-tiba dengan sebegitu mudah sahaja syor dari AGC adalah untuk satu DNAA,” katanya.
Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, sangat dangkal dan tidak munasabah untuk AGC menarik balik pertuduhan hanya semata-mata untuk mengelakkan mahkamah buat keputusan.
“Begitu juga dengan kes rayuan babitkan Najib Razak dan Arul Kanda. Semalam Mahkamah Rayuan telah membatalkan rayuan oleh pihak Pendakwa Raya dalam kes pertuduhan pindaan laporan audit 1MDB.
“Yang peliknya adalah pembatalan rayuan adalah atas kecuaian dan pengabaian tugas AGC sendiri. Kegagalan untuk memfail Petisyen Rayuan dalam jangkamasa ditetapkan dan tambah lagi keengganan untuk memfail apa-apa permohonan lanjutan masa oleh AGC tidak boleh diterima langsung,” katanya. – UTUSAN