Pejabat mewah dijadikan markas penipuan dalam talian terbongkar, 29 individu ditahan

Pejabat mewah dijadikan markas penipuan dalam talian terbongkar, 29 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang beroperasi di sebuah pejabat mewah terbongkar selepas 29 individu ditahan dalam serbuan di Jalan Pudu, Bukit Bintang dekat sini, semalam.

Penahanan suspek yang berusia antara 23 hingga 53 tahun termasuk enam rakyat asing itu dilakukan pada pukul 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pejabat mewah berkenaan disewa dengan RM17,400 sebulan.

Kata beliau, hasil tangkapan itu, pihaknya turut merampas sejumlah telefon bimbit, komputer riba serta beberapa peralatan elektronik lain.

“Siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa di luar negara dan menjalankan operasi di pejabat terbabit kira-kira dua bulan.

“Siasatan mendapati semua individu itu mempunyai peranan antaranya sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan pelaburan forex, komoditi, saham, indeks dan mata wang kripto tidak wujud melalui medium live chatting (komunikasi secara langsung),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Noor Dellhan, siasatan mendapati bayaran gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM2,000 hingga RM10,000 sebulan tidak termasuk komisen berdasarkan peranan yang diberikan.

“Dua daripada mereka yang berperanan sebagai pengurus didapati mempunyai rekod jenayah manakala kesemua yang ditahan direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 120(B)/420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN