PETALING JAYA: Setiap kata-kata bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd. Rani selepas kalah dalam kes saman fitnah membabitkan isu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan diteliti oleh peguam kerana dikhuatiri mengandungi unsur fitnah.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau akan bertindak sedemikian dengan penuh amanah demi memelihara kemuliaan Tabung Haji.
Menurut Mujahid, perkara itu susulan pendakwah dan penceramah bebas itu didakwa masih meneruskan saman fitnah berkaitan kes aset Tabung Haji dijual kepada bukan Islam walaupun dua mahkamah iaitu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sudah memutuskan kes tersebut tidak berlaku.
Beliau berkata, ketidakpuasan hati Ahmad Dusuki itu terhadap keputusan dua mahkamah berkenaan sepatutnya didengar dan dihujahkan ke hadapan Mahkamah Rayuan, tetapi, beliau gagal menggunakan ruang itu apabila menarik balik rayuannya pada 28 Ogos baru-baru ini.
“Malangnya, beliau (Ahmad Dusuki) tarik diri atas kerelaan sendiri, tetapi, memilih untuk meneruskan fitnah ke atas Tabung Haji di pentas politik dan dalam media sosial. Kebanyakan hujahnya telah pun didengari di bilik perbicaraan dan telah pun dijawab dan diperiksa balas kesemua jawapan oleh peguam beliau dan saya di hadapan hakim.
“Tindak balas beliau meneruskan siri fitnahnya ke atas Tabung Haji dengan sentimen aset Tabung Haji dijual kepada bukan Islam menimbulkan keresahan orang ramai. Tabung Haji adalah institusi mulia umat Islam yang menjadi bahan politik murahan beliau walaupun dibuktikan di mahkamah bahawa fitnah beliau adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara menyarankan Ahmad Dusuki berhenti daripada menjaja fitnah dan menghormati keputusan mahkamah yang kekal menolak saman ke atas beliau yang mempertahankan aset Tabung Haji supaya tidak dijual kepada bukan Islam.
“Hormatilah umat Islam dan para pendeposit daripada menjadi mangsa fitnah Ahmad Dusuki. Apa motif beliau? Saya harap beliau noktahkan isu ini dan mari bersama membangunkan umat Islam menjauhi diri dari budaya fitnah.
“Peguam saya akan meneliti setiap kata-kata beliau setelah kalah saman dan akan bertindak dengan penuh amanah demi memelihara kemuliaan Tabung Haji.
“Sementara itu, jauhi pemfitnah dan politik toksik kebencian yang diputarkan oleh pihak yang menyokong dan mempertahankan fitnah. Saya ingatkan kepada beliau dengan hadis Nabi SAW dari Anas bin Malik, ‘fitnah itu tidur, maka, laknatlah mereka yang menggerakkannya’,” katanya. -UTUSAN