PAC gesa percepat proses nyahklasifikasi laporan siasatan tukaran tanah Mindef 

PAC gesa percepat proses nyahklasifikasi laporan siasatan tukaran tanah Mindef 

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mempercepat proses nyahklasifikasi Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung Projek Tukaran Tanah Kementerian Pertahanan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah menghantar surat pada 13 Jun 2023 dan menerima maklum balas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 27 Jun lalu. 

“Menteri memaklumkan perkara ini akan diteliti dan disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum keputusan dibuat oleh kerajaan. Namun, setelah hampir tiga bulan, kerajaan masih belum memaklumkan kepada PAC sebarang keputusan.

“Oleh itu, PAC menggesa supaya mempercepat proses nyahklasifikasi laporan ini memandangkan jawatankuasa ini telah pun membentang laporan kepada PAC Parlimen ke-14 pada 2 April 2019 dan 16 November 2020,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.  

Pada 2019, media melaporkan, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga tukaran tanah (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara berkenaan terdedah hasil siasatan yang dibentangkan JKSTUPKK dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari 2019.

Semua kerugian dan ketirisan itu melibatkan 16 projek tukaran tanah terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Isu tukaran membabitkan tanah Kementerian Pertahanan timbul selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah kementerian itu dipindah kepada sebuah syarikat milik tiga individu tanpa tender terbuka.

Rafidah membuat dakwaan itu menerusi satu surat terbuka yang ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertarikh 8 April 2018. 

Rafidah mendakwa semua tanah berkenaan dipajak selama 40 tahun kepada syarikat berkenaan untuk dibangunkan dengan pelbagai projek komersial antaranya Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan Kem Majidee di Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya