Orang Asli terharu terima enjin bot kurniaan Sultan Johor

Orang Asli terharu terima enjin bot kurniaan Sultan Johor

SULTAN Ibrahim berkenan mengurniakan enjin bot kepada keluarga Lad Bachik - SUMBER/RPO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah keluarga dari Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru terharu menerima enjin bot 15 kuasa kuda kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Menurut Pejabat Media Diraja (RPO), Michael Chelvaraj, 31, serta ibunya, Lad Bachik yang berusia hampir 70 tahun kini mampu menarik nafas lega selepas perlu mendayung bot mencari hasil laut menyara keluarga mereka sebelum ini.

“Patik sekeluarga amat menghargai kurniaan Baginda. Sesungguhnya kurniaan ini besar maknanya kepada kami mencari rezeki di laut.

“Selama hampir lapan tahun, saya dan ibu silih berganti mendayung bot. Walaupun sudah berusia, namun ibu masih kuat ke laut mencari hasil bersama saya,” kata Michael kepada RPO.

Menurut Michael, Sultan Ibrahim sememangnya amat dekat dihati masyarakat Orang Asli.

“Baginda sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat khususnya Orang Asli dan mengurniakan pelbagai bantuan.

“Sewaktu pandemik Covid-19, ramai nelayan tidak dapat turun ke laut, namun Baginda mengurniakan bantuan makanan kepada rakyat dipelbagai kawasan dalam meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, RPO menjelaskan, Sultan Johor amat menitikberatkan kebajikan rakyatnya termasuk masyarakat Orang Asli dan nelayan.

“Baginda sentiasa mengurniakan pelbagai bantuan kepada masyarakat Orang Asli dalam meringankan beban mereka.

“Pada 2020, Baginda mengurniakan lima enjin bot kepada nelayan dari Pulau Aur, Mersing.

“Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) juga menyampaikan bantuan makanan dari semasa ke semasa kepada golongan memerlukan di seluruh daerah termasuk nelayan dan masyarakat Orang Asli,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN