Orang Asli Pos Gob harap kerajaan bina kelas khas - Utusan Malaysia

Orang Asli Pos Gob harap kerajaan bina kelas khas

IBU bapa Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan berharap pihak kerajaan dapat mewujudkan sebuah kelas bagi Projek Kelas Khas (Prokhas) di kawasan tersebut bagi mengelak anak mereka terus tercicir dalam pelajaran. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku Temiar di Pos Gob di sini berharap kerajaan me­laksanakan Projek Kelas Khas (Prokhas) di penempatan tersebut bagi mengelak anak-anak mereka tercicir dalam pelajaran berikutan kedudukan sekolah yang jauh.

Pada masa ini mereka menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis yang terletak 90 kilometer dari kampung tersebut yang dianggarkan mempunyai 1,000 penduduk.

Penghulu Pos Gob, Liman Alang berkata, dia berharap sebuah kelas khas untuk anak-anak Orang Asli di Pos Gob ke­rana jarak sekolah rendah yang jauh dari penempatan itu.

Katanya, faktor jarak yang jauh menyebabkan ramai kanak-kanak di pos terbabit tercicir dalam pelajaran kerana kebanyakan ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak yang masih kecil.

“Kebimbangan kami berasas apabila dalam kejadian terbaharu Khamis minggu lalu, sebuah pacuan empat roda yang membawa murid dan pelajar untuk pulang ke Pos Gob terbabas.

“Seorang murid dan empat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggong Jaya selamat apabila sempat terjun daripada pacuan empat roda itu,” katanya di sini semalam.

Liman berkata, keadaan jalan yang rosak dan licin pada musim hujan juga menambah kebimbangan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka ke sekolah.

“Jadi saya sebagai wakil penduduk berharap kerajaan dapat membina sebuah kelas khas dengan tenaga pengajar kepada anak-anak Orang Asli di sini.

“Seawal usia tujuh tahun kami terpaksa berpisah dengan anak-anak dan mereka perlu tinggal di asrama tanpa tahu cara menguruskan diri yang be­tul,” katanya.

Seorang penduduk Pos Gob, Disman Angah, 44, turut menyokong kelas khas di penempatan itu bagi memastikan tiada keciciran dalam kalangan anak Orang Asli.

Katanya, isu keciciran anak Orang Asli di Pos Gob berlaku setiap tahun apabila kebanyakan ibu bapa Orang Asli tidak mahu menghantar anak mereka yang masih kecil ke SK Kuala Betis.

“Ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak yang masih kecil apabila mereka tidur dalam hutan sekiranya jalan atau kenderaan yang dibawa mereka rosak dalam perjalanan.

“Jika ada kelas khas di sini murid akan lebih bersedia sebelum melangkah ke sekolah rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN