Op HUU: 6,654 saman trafik dikeluarkan - Utusan Malaysia

Op HUU: 6,654 saman trafik dikeluarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 6,654 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan menerusi Op Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah halangan lalu lintas dengan 5,052 saman dikeluarkan.

Katanya, kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (233), tiada lesen memandu (4), nombor pendaftaran (39), jalan ketika lampu isyarat merah (23) dan lain-lain (1,198).

“Bagi saman yang dikeluarkan agensi lain, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 225 saman atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi itu, kita turut menahan 13 individu terkait dengan pelbagai kesalahan antaranya dadah, imigresen dan pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sarifudin, sebanyak 28 operasi dijalankan semalam membabitkan Op Mabuk; Op Motosikal; Op Perdagangan; Op khas; Op Pelbagai; Op Halaju; Op Halangan; Op Utama (telefon bimbit); dan Op Utama (Lampu Isyarat).

“Mana-mana individu yang disaman sepanjang operasi itu yang dijalankan sehingga 29 September tidak layak untuk mendapat tawaran pengurangan atau diskaun,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dipetik berkata, operasi fasa kedua itu akan tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan terbabit bermula 15 hingga 29 September nanti.

Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN